Indianisasi bahasa Inggeris - Utusan Malaysia

Indianisasi bahasa Inggeris

COPRA iaitu isi kelapa dipinjam daripada istilah Malayalam kopra yang juga biasa kita gunakan dalam bahasa Melayu di Malaysia. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA menyedari dan memperakui hakikat bahasa Sanskrit mempengaruhi perkembangan kosa kata bahasa yang dituturkan penduduk di Kepulauan Melayu sejak dahulu. Pada masa sama, kita mungkin kurang menyedari bahasa-bahasa di India turut menyumbang kepada kosa kata bahasa Inggeris.

Untuk rekod, tiada bahasa kebangsaan bagi India tetapi terdapat 22 bahasa yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi di peringkat negeri. Antara bahasa berkenaan ialah Assam, Bengali, Gujarati, Hindi, Kannada, Konkani, Malayalam, Manipuri, Marathi, Odia, Punjabi, Sanskrit, Sindhi, Tamil, Telugu dan Urdu.

Tempoh penjajahan British selama hampir 90 tahun ternyata membuatkan bahasa-bahasa penduduk tempatan di India mempengaruhi, memperkaya serta menjadikan bahasa Inggeris seperti apa yang kita kenali sekarang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Edisi kesembilan Oxford Advanced Learner’s Dictionary (2015) memuatkan 240 perkataan yang disahkan berasal daripada bahasa-bahasa di India. Dalam Oxford English Dictionary (1989) pula, sekitar 900 perkataan yang berasal daripada bahasa-bahasa India direkodkan.

Malah, pada November 2018, Pengarah British Council India, Alan Gemmell mengucapkan terima kasih kepada penduduk India atas sumbangan amat bernilai kepada perkembangan dan pemantapan bahasa Inggeris sejak 400 tahun dahulu.

Ayuh, kita perhatikan sejumlah perkataan Inggeris dalam kategori itu. Kita mulakan dengan perkataan yang memang kita tahu berasal dari India, malah turut menjadi sebahagian kosa kata orang Melayu di sini.

Kata avatar dalam Inggeris berasal daripada avatarana (Sanskrit) dan avataram (Tamil) yang merujuk kepada manifestasi atau inkarnasi dewa-dewi Hindu. Selain dijadikan judul filem Inggeris terkenal, kata itu juga merujuk ikon yang digunakan mewakili diri pengguna internet di alam maya.

Istilah dharma sinonim dengan ajaran Hindu, Buddha, Sikh dan Jain. Dharma adalah undang-undang universal berkaitan keadilan, moral dan norma sosial. Malah, agama Hindu disebut juga sanatana dharma.

Orang Melayu pula menggunakan kata darma dengan makna ‘kemestian dan kewajiban.’ Konsep karma yang dirujuk sebagai kesan tindakan dan akibat dalam pemahaman bahasa Inggeris berasal daripada ajaran Hindu dan Buddha yang menekankan bahawa apa-apa tindakan kita pada masa kini akan membawa kesan setimpal pada masa depan.

Satu lagi gelaran yang amat biasa ialah guru dan biasanya kita gunakan untuk merujuk tenaga pengajar di sekolah. Dalam bahasa Inggeris, ia merujuk kepada pakar bidang tertentu yang bersedia menyampaikan ilmu kepada orang lain. Pada asalnya, guru dalam bahasa-bahasa di India merujuk kepada sami yang mengajar ilmu agama dari kitab veda kepada orang ramai.

Seorang pundit (Inggeris) ialah pakar bidang yang sering dihubungi untuk mendapatkan pandangan tentang isu tertentu. Asalnya daripada kata pandit (Sanskrit) atau panditan (Tamil) yang merujuk kepada pendeta, cerdik pandai, pakar agama dan sami Hindu.

Kata mantera yang digunakan di Malaysia dan Indonesia berasal daripada kata mantra (Sanskrit) dan manthiram (Tamil) serta sudah menjadi kosa kata Inggeris. Ia sebenarnya merujuk petikan ayat-ayat suci kitab agama dan bukannya jampi serapah untuk memanggil kuasa ghaib. Sebaliknya, mantra adalah lafaz puji bagi Tuhan.

Konsep nirvana dan yoga daripada agama Hindu sudah diserap masuk dalam bahasa Inggeris. Apa yang disebut nirwana di Malaysia merujuk keamanan dicapai setelah atma (roh) bersatu semula dengan Tuhan. Yoga asalnya juga falsafah untuk bersatu dengan Tuhan dan senaman yoga hanya sebahagian daripadanya.

KARI

Turut terserap masuk dalam kosa kata Inggeris ialah curry daripada kari dalam budaya India. Malah, seperti kita sedia maklum, kata kari bagi masakan gulai pedas berempah juga sudah menjadi kebiasaan di Malaysia sehingga kita kadang-kadang lupa asal usulnya.

Tidak lama dahulu, tular di media sosial notis ‘Lot Bangla Untuk Dijual.’ Kita biasa dengan kata banglo yang dipinjam daripada banglow (Inggeris). Tetapi kita tidak pula sedar kata itu pun berasal daripada bangla (Hindi, Tamil) yang merujuk kepada rumah agam satu tingkat milik orang Eropah di wilayah Bengal, India pada masa dahulu.

Begitu juga dengan pijama yang kita tahu diambil daripada pyjama (Inggeris). Sebenarnya, orang British sendiri mengambilnya daripada istilah payjamah (Hindi) di mana pay bermakna kaki dan jamah bermakna pakaian.

Kita tahu kata syampu yang kita gunakan diambil daripada shampoo (Inggeris) tetapi kita tidak sedar kata itu pula diambil daripada campo (Hindi) yang membawa makna ‘tekan, picit, urut.’

Satu lagi perkataan Inggeris yang mungkin mengejutkan anda adalah bandanna (Inggeris) iaitu skaf bandana. Ketahuilah bahawa kain besar empat segi yang biasa diikat pada kepala itu mendapat nama daripada kata Hindi bandhana (mengikat). Sementara itu, bangle berasal daripada bangri iaitu gelang yang dipakai pada pergelangan tangan.

Perkataan cakka dalam Malayalam menjadi jaca dalam bahasa Portugis dan kemudian menjadi jackfruit (nangka) dalam Inggeris. Begitu pula copra iaitu isi kelapa dipinjam daripada istilah Malayalam kopra yang juga biasa kita gunakan di Malaysia.

Orang British bangga dengan minuman punch dan kita fikir ia milik mereka. Sebenarnya, nama itu sendiri diambil daripada pancha (Sanskrit) yang merujuk kepada lima ramuan yang digunakan iaitu buah lemon, air, gula, teh atau rempah-ratus dan alkohol.

Kata cerut yang mungkin kita sangka diambil daripada cheroot (Inggeris) sebenarnya berasal daripada curuttu (Tamil) kerana digulung. Malah, istilah cash dalam Inggeris diambil daripada kacu (Tamil).

Maka, bahasa-bahasa dari negara India bukan hanya mewarnai bahasa di Asia Tenggara tetapi juga bahasa Eropah, khususnya Inggeris. Hakikat proses Indianisasi ini turut diakui dalam kamus bahasa Inggeris. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×