Vape kini umpama ‘mesin pembunuh’

Vape kini umpama ‘mesin pembunuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan pengawasan dan peningkatan aktiviti seludup produk-produk vape (rokok elektronik) secara haram menyebabkan peranti tersebut kini sudah menjadi ‘mesin pembunuh’ kepada penggunanya.

Presiden Lembaga Pelindung Dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, situasi tersebut sangat mengecewakan memandangkan vape dahulunya dicadangkan sebagai alat gantian kepada rokok.

Sehubungan itu, kata beliau, produk-produk vape tersebut perlu diharamkan penggunaannya di dalam negara ini kerana selain mengancam kesihatan pengguna, ia juga mendatangkan gangguan kepada orang awam sekeliling.

“Pengguna vape akan terdedah dengan kecederaan paru-paru dan kos untuk merawatnya mencecah RM1,200 untuk sehari. Ia lebih serius daripada pengguna yang menghisap rokok tembakau.

“Kerajaan perlu meneruskan perbincangan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) yang berkenaan dengan produk merokok. Penguatkuasaan dan pemantauan harus diperluas dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Malah, pemantauan dan kawalan terhadap penggunaan serta penjualan perlu dilakukan secara konsisten dan hukuman harus ditetapkan dengan lebih ketat, dilaksanakan dengan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menyokong usaha itu, aktivis Anti-Merokok dan Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, kerajaan tidak lagi boleh membuang masa dan seharusnya mengharamkan vape serta-merta.

“Tindakan tersebut sekiranya dilaksanakan akan menyelamatkan nyawa belia di dalam negara ini. Sekarang kita sudah ada dua juta orang awam yang menggunakan produk-produk vape.

“Jika kerajaan membelanjakan wang untuk rawatan pengguna vape, ia sangat tidak adil untuk orang yang tidak menggunakan peranti tersebut memandangkan wang untuk merawat adalah duit rakyat. Sebab itu kerajaan mesti haramkan penggunaannya.

“Haramkan semua sama ada berlesen ataupun tidak sebab semua produk vape mengandungi bahan kimia yang berbahaya,” tegasnya.

Subbarow berkata, dakwaan bahawa penggunaan produk vape dapat membantu perokok daripada terus menghisap rokok tembakau adalah tidak benar kerana tidak ada bukti ia dapat membantu.

“Malah, kajian yang dijalankan oleh CAP menunjukan terdapat banyak kanak-kanak atau pelajar dan belia yang tidak menghisap rokok pada asalnya kini menggunakan vape. Jadi di sini menunjukkan peranti tersebut adalah ‘pertama’ untuk mereka sebab mereka tidak pernah ambil atau pegang rokok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×