KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) merekodkan prestasi cemerlang apabila syarikat-syarikat portfolionya mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 30.2 peratus dan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 31.3 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Ia jauh menjangkau pertumbuhan pada tahun kewangan berakhir 2021 dengan nilai masing-masing 12.3 peratus dan 27.2 peratus.
Bagi prestasi dana, Ekuinas mencatatkan Pulangan Portfolio Kasar (GPR) sebanyak RM716.6 juta dan Kadar Pulangan Dalaman Kasar (IRR) sebanyak 11.9 peratus setahun bagi Dana Ekuinas Direct (Tranche Il) pada 2022, menandakan peningkatan daripada RM654 juta pada tahun sebelumnya.
Dana Ekuinas Direct (Tranche IV) mencatatkan GPR sebanyak RM91.1 juta dan IRR sebanyak 77.2 peratus, manakala Dana Ekuinas Direct (Tranche III) merekodkan GPR sebanyak RM133.5 juta dan IRR sebanyak 3.1 peratus.
Selain itu, Dana Ekuinas Direct (Tranche III) menunjukkan peningkatan berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan usaha gigih Ekuinas untuk mengukuhkan syarikat-syarikat portfolionya.
Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, keputusan itu mencerminkan keupayaan syarikat dalam melaksanakan mandatnya dan memacu nilai signifikan bagi syarikat-syarikat portfolio dan pihak berkepentingannya, serta meneruskan komitmennya dalam mendukung objektif kewangan dan sosialnya.
Ujarnya, walaupun dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu, Ekuinas terus melangsungkan mandat untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera di dalam ekonomi dan kekayaan melalui ekuiti serta memacu pertumbuhan syarikat-syarikat Malaysia ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Kedua-dua pelaburan dana langsung Ekuinas mahupun dana yang diuruskan oleh pengurus dana penyumberan luar berjaya meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera mencapai RM6.5 bilion, atau 1.6 kali modal yang dilaburkan.
“Pengurusan Bumiputera dalam kalangan syarikat-syarikat portfolio meningkat sebanyak 21.9 peratus sejak penglibatan Ekuinas, manakala Jumlah Nilai Pemegang Saham meningkat kepada RM8.2 bilion atau 2. 1 kali modal yang dilaburkan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.
Dari segi pelaburan penyumberan luarnya, Dana Ekuinas Outsourced (Tranche I) menyaksikan peningkatan IRR sebanyak 4.1 peratus berbanding prestasi 2021 sebanyak 3.3 peratus, sebaliknya, prestasi Dana Outsourced (Tranche lI) kurang memberangsangkan dengan IRR negatif 2.7 peratus, penurunan daripada IRR negatif 0.8 peratus pada 2021.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir berkata, penciptaan nilai terus menjadi tumpuan utama dalam usaha Ekuinas untuk merangsang pertumbuhan syarikat-syarikat portfolio menerusi pendekatan unik yang disesuaikan mengikut peluang dan cabaran setiap syarikat.
“Secara keseluruhan, semua sektor memberi keputusan yang baik namun sektor minyak dan gas, peruncitan logistik dan penjagaan kesihatan yang paling memberangsangkan,” ujarnya.
Jumlah dana kumulatif yang diterima oleh Ekuinas berjumlah RM4.0 bilion dan Ekuinas terus menyokong pembangunan ekonomi dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.4 bilion dan jumlah penyaluran dana sebanyak RM5.1 bilion, bersama pasukan pengurus dana penyumberan luar. – UTUSAN










