PETALING JAYA: UOB Malaysia memperkenalkan aplikasi perbankan mudah alih yang diperbaharui UOB TMRW, membolehkan pelanggan mendapat gambaran keseluruhan mengenai portfolio pelaburan mereka.
UOB TMRW merupakan aplikasi ‘semua dalam satu’ yang dikuasakan teknologi terkemuka termasuk analisis data, kecerdasan buatan (AI) dan model pembelajaran mesin, menekankan komitmen Bank menyediakan pengalaman perbankan yang lebih mudah, lebih pintar dan lebih diperibadikan untuk pelanggan.
Ciri Rewards+ dalam aplikasi pula membolehkan pelanggan melihat mata ganjaran dan menebus kupon UOB dalam masa nyata.
“Melalui aplikasi ini, pelanggan boleh menebus mata ganjaran mereka untuk pengembaraan, produk dan baucar yang disenaraikan dalam katalog UOB Rewards ataupun mengurangkan baki pada pembelian kad kredit.
“Kupon yang ditebus juga boleh digunakan untuk menikmati diskaun dan tawaran daripada mana-mana pedagang tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian,” jelas UOB dalam kenyataan.
Jelasnya, Bank akan menggabungkan ciri layan diri yang menyeluruh untuk kad UOB ke dalam UOB TMRW secara berperingkat pada tahun ini.
Melalui aplikasi, pelanggan dapat menjalankan perkhidmatan kad seperti pengaktifan kad, peningkatan had kredit sementara, permohonan untuk bayaran ansuran, penggantian kad dan penukaran baki dengan mudah.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, walaupun aplikasi mudah alih adalah platform paling kerap digunakan untuk perkhidmatan perbankan di negara ini, rakyat Malaysia juga lebih mempercayai transaksi digital yang dilakukan pada aplikasi mudah alih berbanding bentuk saluran penghantaran perkhidmatan lain selepas berlakunya pandemik.
Katanya, berlandaskan arah aliran itu dan matlamat mengutamakan pelanggan, UOB telah meningkatkan keupayaan digital secara berterusan selain memanfaatkan skala ekonomi untuk mempercepatkan inovasi, terutamanya dari segi pengalaman perbankan digital hiper peribadi (hyperpersonalised) dan kepantasan ke pasaran.
“Di UOB, kami komited untuk memahami dan memenuhi keperluan unik setiap pelanggan dan ini dicapai melalui gabungan data dan petunjuk yang diterajui hubungan.
“Melalui UOB TMRW, Bank menawarkan petunjuk dan penyelesaian sejajar dengan keperluan pelanggan dalam cara yang melibatkan serta menjangkakan matlamat hidup mereka dengan lebih baik,” katanya. – UTUSAN










