Untung bersih Sime Darby Plantations merosot 90 peratus

Untung bersih Sime Darby Plantations merosot 90 peratus suku pertama 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih (PAT) Sime Darby Plantations (SDP) bagi suku pertama tahun kewangan 2023 merosot sebanyak 90 peratus kepada RM69 juta berbanding RM718 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Keuntungan Sebelum Faedah dan Cukai (PBIT) Kumpulan turut menurun kepada RM303 juta  daripada RM1.06 juta yang direkodkan pada suku pertama 2022.

Kemerosotan dalam keuntungan terutamanya disebabkan oleh purata tahun ke tahun yang lebih rendah direalisasikan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK), pengeluaran buah tandan segar (BTS) serta kos kewangan yang lebih tinggi dengan peningkatan kadar faedah penanda aras.

Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, prestasi Kumpulan terjejas oleh penurunan mendadak harga purata MSM dan kesan kekurangan buruh yang berpanjangan di Malaysia, yang hanya kini di peringkat permulaan pemulihan.

“Oleh itu, kami memberi keutamaan tertinggi kepada faktor dalam kawalan kami, iaitu pemulihan Hulu Malaysia dan inisiatif berani untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja manual dan asing melalui mekanisasi, automasi dan pendigitalan estet kami.

“Usaha ini akan menjadi asas operasi yang lebih mampan, produktif dan cekap untuk kami pada masa hadapan, sambil kami terus memulihkan produktiviti dan mencipta semula operasi perladangan pada tahun kewangan ini,” katanya dalam kenyataan.

Harga MSM yang direalisasikan pada suku pertama 2023 purata RM3,887 setiap tan metrik (MT), penurunan sebanyak 13 peratus tahun ke tahun berbanding RM4,465 setiap MT tahun sebelumnya, manakala harga PK realisasi purata menurun ketara sebanyak 56 peratus kepada RM1,794 setiap MT daripada RM4,105 pada tempoh sebelumnya.

Pengeluaran BTS keseluruhan Kumpulan merosot sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun berikutan operasi huluan Malaysia terus terjejas oleh kesan berlarutan daripada kekurangan buruh sekali gus mengakibatkan penurunan 11 peratus.

Selain itu, kedua-dua operasi di Indonesia dan Papua New Guinea mencatatkan pertumbuhan 1.0 peratus.  Operasi hiliran Kumpulan, Sime Darby Oils (SDO) pula mencatatkan PBIT sebanyak RM68 juta, berbanding RM161 juta pada suku tahun sebelumnya.

SDO merekodkan volum jualan dan margin yang lebih rendah dalam operasi pukal Asia Pasifik, namun operasi di Eropah mencatatkan peningkatan prestasi dalam kedua-dua jumlah jualan dan margin.

Untuk tahun ini, harga MSM dijangka didagangkan pada paras semasa dalam tempoh terdekat dengan harga daya saing MSM bergantung kepada beberapa faktor, termasuk prospek penawaran minyak pesaing serta dasar eksport minyak sawit Indonesia.

Kumpulan menjangka mencatatkan pengeluaran BTS yang bertambah baik tahun ini dengan pelonggaran kekurangan buruh di Malaysia.

Selain itu, dengan mekanisasi intensif Kumpulan, usaha automasi dan pendigitalan dalam operasi, Kumpulan optimistik untuk meningkatkan produktiviti pada tahun ini walaupun suasana kekal mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×