PETALING JAYA: BOH Plantations Sdn. Bhd. (BOH) menaja usaha penanaman sejumlah pokok di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bersempena Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa 2023 yang disambut kelmarin.
Sejumlah 600 pokok telah ditaman oleh seramai 130 sukarelawan di hutan simpan itu Selasa lalu dalam usaha membantu memulihkan hutan paya gambut dan membawa perubahan untuk generasi akan datang.
Program itu turut mendapat kerjasama Sahabat Gambut Asli Temuan (SGAT), Global Environment Centre (GEC) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
BOH telah terlibat dalam usaha pemulihan dan pengurusan air hutan paya gambut oleh GEC di HSKLU sejak 2015.
Ketua Pegawai Eksekutif BOH, Jason Foo berkata, sebagai sebuah syarikat yang terhutang budi kepada alam sekitar atas kejayaan dan legasi yang dikecapi, kelestarian alam adalah suatu yang diutamakan dalam merealisasikan matlamat BOH untuk menjadi penanam teh yang mampan sepenuhnya pada masa akan datang.
Beliau berkata, BOH mengutamakan ekosistem seimbang di kawasan hutan sekeliling semua ladang tehnya.
“Di Ladang BOH Bukit Cheeding, yang berada pada kedudukan unik bersebelahan dengan HSKLU, kami mengekalkan zon penampan di antara kawasan penanaman kami dengan hutan berkenaan bagi memelihara kepelbagaian biologi hidupan dan keutuhan tanah.
“Usaha penanaman pokok ini adalah sebahagian daripada program kemampanan jangka panjang syarikat yang bertemakan ‘BOH, A Cup of Sustainabili-tea’.
“Kami amat gembira dan berbesar hati untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran dan pemulihan serta kelestarian hutan tanah gambut negara,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Global GEC, Faizal Parish pula berkata, sejak beberapa tahun lalu, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan untuk memulihkan hutan paya gambut negara telah menghasilkan perkembangan yang positif.
“Melalui sokongan JPNS, penglibatan aktif SGAT, jalinan kerjasama sektor awam-swasta yang menyokong serta peningkatan libat urus masyarakat, kami mampu mewujudkan pendekatan pengurusan hutan paya gambut yang mampan dan membantu dalam mengekalkan nilai kawasan tersebut serta pada masa sama memelihara kekayaan kepelbagaian biologi dan mengekalkan manfaat ekosistem serta mengawal perubahan iklim,” katanya. – UTUSAN










