Pastikan rakyat ada kerja, gaji bermaruah

Pastikan rakyat ada kerja, gaji bermaruah

MENGURUS perbezaan falsafah politik dalam kerajaan perpaduan sekarang tidak dinafikan suatu cabaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan yang menghimpunkan 19 parti membuka dimensi baharu warna politik negara. Siapa sangka, pimpinan DAP akan berucap sepentas bersama pimpinan UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengurus perbezaan falsafah politik dalam kerajaan perpaduan sekarang tidak dinafikan suatu cabaran kepada Perdana Menteri. Pandangan mereka rencam, ada yang berfahaman sosial demokratik, liberal dan konservatif. Kesemua ini perlu diurus dengan cermat supaya perpaduan antara parti terus utuh.

Mutakhir ini, isu yang menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat, adakah kerajaan perpaduan akan terus bertahan terutama selepas pilihan raya negeri (PRN) nanti? Tidak dinafikan PRN tidak akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Persekutuan, namun mood atau sentimen sangat mempengaruhi apa yang akan terjadi dalam politik negara seterusnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perpaduan tidak datang bergolek, ia harus diusahakan. Maka Perdana Menteri menggagaskan konsep Malaysia Madani, iaitu suatu dasar negara yang jelas.

Madani ibarat moral kompas dan ideologi bagi mengolah kesepakatan. Madani ialah suatu ideologi yang menyeru semua pihak supaya fokus dalam melaksanakan dasar dan polisi negara melalui enam rukun madani. Apabila ada ideologi, misi dan visi yang jelas, maka Perdana Menteri sebagai pemimpin numero uno dapat meletakkan suatu petunjuk pencapaian utama (KPI) dalam pentadbirannya supaya dilaksanakan oleh semua pemimpin.

Sebenarnya di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan tempoh hari, formula bagi memastikan kerajaan ini terus kekal telah dinyatakan dengan tuntas oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Formulanya mudah, ia kembali kepada bagaimana kita menguruskan ekonomi rakyat dan ekonomi negara.

Perkara paling utama yang rakyat sangat perlukan ialah makanan. Rakyat mahukan bekalan makanan sentiasa tersedia dengan harga munasabah. Kerajaan mesti pastikan bekalan telur dan ayam sentiasa berada dalam pasaran. Harga makanan yang menjadi sumber protein dan tenaga utama rakyat mesti sentiasa dikawal supaya tidak melambung tinggi.

Kedua, rakyat memerlukan pendidikan berkualiti. Kerajaan perlu menggunakan segala dana dan wang untuk pastikan rakyat mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan percuma. Sudah tentu apabila dikatakan pendidikan wajib yang percuma, ia mesti diteruskan sekurang-kurangnya di peringkat menengah.

Ketiga, apabila rakyat sudah mendapat pendidikan, tentu mereka mahukan pekerjaan dengan gaji bermaruah. Setakat Mac lalu, kadar pengangguran di negara kita berada pada 3.5 peratus dan lebih baik dari 2020, 2021 dan 2022. Inilah bagi saya, fokus paling utama kerajaan perpaduan sekarang, iaitu memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dengan gaji bermaruah. Untuk itu, usaha mesti dilakukan bagi meningkatkan pelaburan dalam dan luar negara supaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

B40

Keempat, setelah mempunyai pekerjaan, rakyat memerlukan rumah yang selesa. Harga rumah harus dikawal terutama bagi memberikan peluang kepada B40 mendapat sebuah kediaman yang selesa. Selesa di sini bukan sahaja dari segi saiz menurut bilangan ahli keluarga tetapi kena pastikan bekalan air, elektrik dan internet disambungkan ke setiap rumah berada dalam keadaan bersih, baik dan berkelajuan munasabah. Internet sekarang merupakan suatu keperluan, bukan lagi kehendak.

Untuk memastikan ekonomi rakyat, makanan, pendidikan, pekerjaan dan perumahan dapat disediakan dengan sempurna, kerajaan perlu mengurus ekonomi negara dengan cekap. Ada tiga elemen ekonomi negara yang mesti diuruskan dengan cekap bagi memastikan kerajaan perpaduan terus didukungi rakyat iaitu menarik pelaburan dalam dan luar negara, percukaian yang adil dan pembinaan infrastruktur yang efisien dan baik. Kita dimaklumkan ada beberapa pelaburan besar akan masuk termasuk syarikat Amazon dan dari Brunei. Jika ini berlaku, ia akan merangsang pendapatan kerajaan kerana pelaburan daripada syarikat gergasi dan multinasional akan membolehkan cukai dikenakan.

Percukaian yang adil ialah perkara kedua mesti diuruskan oleh kerajaan dengan cekap. Setakat ini kerajaan perpaduan memperkenalkan dasar cukai yang lebih kepada golongan maha kaya dan mengurangkan cukai kepada golongan B40. Cukai yang diperkenalkan dalam belanjawan baru-baru ini seperti cukai barangan mewah dan cukai keuntungan modal menjurus kepada dasar cukai kepada golongan maha kaya.

Perkata ketiga tidak kurang pentingnya ialah membina infrastruktur yang baik dan efektif. Sekolah, hospital, jalan raya, dewan orang ramai, pelabuhan, antara banyak kemudahan dan infrastruktur penting yang mesti dibina oleh kerajaan.

Membelanjakan sebahagian besar kepada infrastruktur strategik seperti pelabuhan, lebuh raya, keretapi rel laju sebenarnya tidak rugi kerana akan merancakkan pertumbuhan setempat dan ekonomi di sesebuah kawasan. Ia juga bakal menarik pelaburan dalam dan luar negeri.

Memastikan ekonomi rakyat dan ekonomi negara terjaga dan diuruskan dengan baik ialah formula ampuh bagi memastikan kerajaan perpaduan ini terus kekal sekurang-kurangnya satu penggal. Nampak seperti ia suatu yang klise tetapi percayalah, jika fokus diberikan kepada perkara-perkara dinyatakan, pemimpin politik tidak harus takut jika mereka dijatuhkan kerana rakyat sudah boleh menilai siapakah yang benar-benar membela rakyat atau mereka yang hanya menghamburkan kata-kata retorik dan janji-janji palsu. Ini semua harus bermula dengan semua pemimpin politik dan pegawai kerajaan menterjemahkan rukun-rukun madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dalam dasar tatakelola, program rakyat dan setiap kementerian memenuhi KPI yang ditetapkan oleh Perdana Menteri seberapa segera.

Kata kuncinya ialah berapa pantas ia diterjemahkan dalam tindakan. Masa menjadi penentunya. Kerajaan perpaduan masih ada dua bulan sebelum PRN. Tindakan untuk melunaskan apa yang dijanjikan sebelum pilihan raya adalah sekarang. Masih tergiang di telinga saya, “Jika saya menjadi Perdana Menteri, kita tidak perlu seminggu, dalam masa 24 jam harga minyak akan turun.” – UTUSAN

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Pusat Polisi & Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×