Elektrik: Bekalkan rakyat panel semikonduktor solar percuma

Elektrik: Bekalkan rakyat panel semikonduktor solar percuma

PENGGUNAAN panel solar dilihat cara terbaik menjana tenaga elektrik sendiri dan menyumbang kepada kelestarian alam semulajadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan disaran membekalkan panel semikonduktor solar percuma kepada kira-kira 6.8 juta isi rumah di negara ini untuk mengurangkan bebanan bil elektrik rakyat bagi tempoh jangka masa panjang.

Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) berpandangan, sudah sampai masanya kerajaan memperkenal tenaga solar secara lebih menyeluruh kepada semua pengguna kerana ia bersih dan mudah didapati.

Panel solar adalah cara terbaik untuk rakyat menjana tenaga elektrik sendiri sekali gus menjimatkan wang dan menyumbang kepada kelestarian alam semulajadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kerajaan perlu mewajibkan semua bangunan, perniagaan dan perindustrian memasang panel solar untuk mendapatkan tenaga elektrik di premis mereka.

Katanya, yayasan itu juga mencadangkan agar semua pemaju perumahan diwajibkan memasang terus panel solar dan menyerap kosnya dalam jualan rumah serta bangunan kedai sebagai syarat kelulusan mendapat lesen pemaju.

“Untuk pengguna isi rumah, panel ini boleh dibekalkan secara percuma. Bagi premis perniagaan dan industri pula, mereka perlu membelinya. Jadi, YPNM mencadangkan kerajaan menyediakan pinjaman wang yang mudah daripada bank-bank tempatan.

“Menerusi cara ini, kerajaan dapat mengurangkan subsidi yang begitu banyak diberikan kepada konsesi-konsesi, pembekal tenaga yang menggunakan gas, diesel serta hydrogen karbon yang lain.

“Ini juga menjaga keadaan alam sekeliling daripada pencemaran, pelepasan gas-gas karbon dioksida. Keadaan ini juga menjamin kebersihan alam sekitar dan udara daripada tercemar dan mengurangkan pemanasan global,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, tiada lagi subsidi elektrik bagi kediaman yang menggunakan bekalan elektrik yang tinggi pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, kediaman yang dikategorikan sebagai ‘penggunaan elektrik tinggi’ tidak seharusnya menikmati subsidi tarif elektrik disediakan kerajaan.

Anwar berkata, golongan B40 dan M40 masih kekal menikmati subsidi dan tiada kenaikan tarif elektrik, namun kediaman yang menggunakan elektrik tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.

Pada 18 Mei lalu, Profesor Adjung di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng dilaporkan berkata, pengguna yang bakal terbeban ekoran pengumuman Perdana Menteri bahawa tiada lagi subsidi untuk mereka yang yang menggunakan banyak elektrik boleh memikirkan sumber alternatif daripada tenaga boleh baharu (TBB) iaitu dengan memasang panel solar.

Guntor berkata, pemansuhan subsidi akan menyaksikan jumlah penggunaan elektrik bagi mereka yang menggunakan pendingin hawa meningkat tinggi.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, dalam keadaan negara sentiasa berdepan situasi cuaca panas sepanjang tahun, tenaga solar perlu dimanfaatkan oleh rakyat.

“Setiap tahun pengguna dan industri boleh mendapat manfaat dari segi pengurangan bayaran bil elektrik.

“Begitu juga pihak industri dan kerajaan boleh menurunkan kos pengelolaan dan premis perniagaan sejurus dapat membantu kos sara hidup pengguna Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×