'Hari lahir saya sama tarikh kematian suami'

‘Hari lahir saya sama tarikh kematian suami’

HAZNAH Mat Dai (tengah) menerima replika cek insuran daripada Pengurus Besar Pos Malaysia Kedah/Perlis, Yushaini Yusoff (tiga kiri) yang hadir bersama Pengurus Kanan Etiqa Malaysia, Mohamad Yunos Mohd. Sood di Sungai Petani, Kedah. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: “Sukar untuk lupa tragedi ini kerana suami meninggal pada tarikh hari lahir saya,” kata Haznah Mat Dai, 61, isteri kepada Allahyarham Ahamad Yusuf yang maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Sidam Kiri, di sini pada 19 September tahun lalu.

Lebih menyedihkan ujar Haznah, pada pagi sebelum kejadian terbabit, suaminya sempat menyarungkan sebentuk cincin emas yang dibeli sebagai hadiah sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-60.

“Saya sama sekali tidak dapat melupakan tarikh ini kerana menyimpan dua situasi berbeza iaitu gembira kerana dilahirkan dan sedih kehilangan suami tersayang.

“Sekarang perasaan sedih melebihi rasa gembira setiap kali terkenangkan kejadian itu, tambahan apabila terbayang saat-saat suami menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuan saya semasa kejadian berkenaan,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan cek insuran Etiqa Takaful Am Berhad (Etiqa) berjumlah RM50,000 yang diterimanya selepas arwah suaminya menjadi pencarum bagi kategori Flexi PA, di sini semalam.

Kata Haznah, walaupun gembira kerana menerima sumbangan itu tetapi ia tidak dapat menyamai perasaan kasih dan sayang terhadap suaminya yang dianggap sempurna di matanya selama mereka melayari kehidupan berumah tangga sejak lebih 40 tahun lalu.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, suaminya yang berusia 63 tahun meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka empat beranak terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain.

Haznah berkata, ketika kejadian suaminya duduk di kerusi penumpang belakang sambil memangku cucu mereka, Mohamad Fatah Haris Mohd. Fuad berusia setahun, manakala dia duduk di kerusi penumpang hadapan kereta yang dipandu anak mereka, Norarina, 24, ketika dalam perjalanan ke rumah seorang lagi anak di Sungai Petani.

Menurutnya, Arwah Ahamad merupakan bekas anggota tentera dan sejak tamat perkhidmatan selama 13 tahun lalu, mereka mengusahakan jualan nasi lemak di hadapan rumah di Taman Angsana, Kulim.

“Arwah seorang bapa yang baik untuk empat anak kami dan seorang suami yang bertanggungjawab terhadap saya serta sanggup berkorban wang, tenaga dan masa menjaga dan memelihara kami selama ini.

“Allah lebih menyayanginya dan wang insuran diperolehi ini akan saya gunakan untuk kos badal haji selain untuk difaraidkan kepada semua anak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×