Zahid Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ditubuh? - Utusan Malaysia

Zahid Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ditubuh?

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik diri pada saat-saat akhir untuk menganggotai Jawatankuasa Bebas Darurat didakwa menyebabkan berlaku kelewatan kerajaan untuk mengumumkan jawatan kuasa itu.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Must afa Billah Shah telah memberi perkenan pelantikan anggota jawatan kuasa itu yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid bertindak menarik diri selepas senarai itu diperkenan Seri Paduka Baginda.

“Jawatan kuasa Khas Bebas Darurat itu sepatutnya diumumkan pada 3 Februari lalu tetapi tiba-tiba Ahmad Zahid menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk tarik diri.

“Proses pelantikan jawatan kuasa ini bukan senang tetapi suka-suka pula Ahmad Zahid tarik diri untuk ganti orang lain dengan menamakan Tan Sri Noh Omar (Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor,” katanya semalam.

Sumber berkata, ekoran itu, Perdana Menteri perlu mempersembahkan sekali lagi senarai nama baharu itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam laporan Utusan Malaysia semalam, beberapa pihak bertanyakan status Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang sehingga kini belum jelas perkembangannya setelah hampir sebulan proklamasi darurat diisytiharkan sejak 12 Januari lalu.

Kelewatan mengumumkan penubuhan jawatan kuasa tersebut amat menghairankan kerana ia sepatutnya ditubuhkan sebaik sahaja darurat diisytiharkan selain menimbulkan persoalan apakah proklamasi darurat ini perlu atau tidak.

Turut dipersoalkan bagaimana kerajaan boleh menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat pada 16 Januari lalu sedangkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat belum ditubuhkan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kira-kira 20 individu akan menyertai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang terdiri daripada bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), bekas Ketua Polis Negara (KPN), empat wakil Perikatan Nasional (PN), tokoh bidang keselamatan, pertahanan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial dan tiga wakil pembangkang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×