Memupuk budaya lestari di universiti - Utusan Malaysia

Memupuk budaya lestari di universiti

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) memulakan advokasi kelestarian secara rasmi pada 2017 melalui pengharaman penggunaan polistirena di kafeteria. – FB USM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM lawatan kerja ke Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta universiti itu menubuhkan pasukan khas untuk menilai program kelestarian di semua universiti bagi melihat pencapaian dan keberkesanannya.

Ini juga sesuai dengan kejayaan USM mendapat tempat keempat Times Higher Education Global Impact Ranking 2022 yang mengukur pencapaian lebih 1,400 universiti dunia dalam 17 Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kelestarian atau kemapanan (sustainability) dalam bahasa Inggeris mempunyai makna yang luas dalam membangun kesejahteraan negara dan komuniti dunia mencakupi pelbagai aspek sepertimana dinyatakan dalam 17 SDG sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

SDG diperkenalkan sewaktu Persidangan PBB mengenai Pembangunan Mampan di Rio de Janeiro pada 2012. Yang dilancarkan pada 2015 adalah rangka tindakan masa hadapan yang lebih baik dan lestari untuk dicapai dalam tempoh 15 tahun iaitu pada 2030. SDG bertujuan menangani cabaran-cabaran global yang dihadapi seperti terkandung dalam Agenda 2030.

Malaysia bersama 193 negara anggota PBB yang lain telah menyatakan komitmen untuk menyokong bagi mencapai matlamat dan sasaran tersebut.

17 SDG yang diharapkan mentransformasikan dunia meliputi tiada kemiskinan, tiada kelaparan, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, kesaksamaan gender, kebersihan air dan sanitasi, kebolehupayaan dan tenaga, pertumbuhan ekonomi, industri, inovasi serta infrastruktur.

Ini termasuk mengurangkan ketidaksamaan, bandar dan komuniti lestari, pengeluaran dan penggunaan yang bertanggungjawab, iklim, kehidupan air, kehidupan di bumi, institusi yang damai dan adil serta perkongsian untuk mencapai semua matlamat.

Kelestarian juga menjadi salah satu prinsip negara madani berkait rapat dengan kitaran ekologi kehidupan daripada menjaga dan menguruskan alam sekitar hinggalah menjaga warisan budaya, ekonomi dan kehidupan seluruhnya yang menyentuh hubungan manusia dengan manusia, hubungan manusia dengan alam dan hubungan manusia dengan Tuhan.

Kita dikatakan meminjam bumi ini dari generasi masa hadapan yang perlu memulangkan kepada mereka dalam keadaan baik dan sempurna tanpa cacat-cela dan masalah. Kerana itu menanam dan memupuk budaya atau cara hidup lestari sangat penting bermula dari rumah, pendidikan formal di peringkat prasekolah hinggalah ke universiti dan di tempat kerja untuk diteruskan dalam kehidupan harian.

Anak-anak perlu dididik dengan nilai-nilai kelestarian seperti berbudi bahasa dalam mempertahankan adab dan budaya, menjaga keamanan dan keharmonian masyarakat, hormat-menghormati, menjaga kebersihan dan alam sekitar, menjimatkan sumber-sumber yang ada seperti tenaga, air, elektrik dan sebagainya serta mempertahankan nilai-nilai kesejahteraan sedia ada.

Saya masih ingat semasa bersekolah dahulu, murid-murid diminta mengutip sampah keliling sekolah, membersihkan tandas, banyak berjalan kaki dan pelbagai lagi amalan yang kemudiannya menjadi budaya hidup berterusan.

APEX

USM yang dipilih sebagai Pusat Pendidikan untuk Pembangunan Lestari oleh United Nations University Tokyo pada 2005 dan menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) pada 2008 bertemakan Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok yang menyasarkan usaha mengubah sosioekonomi komuniti terkebawah dan membantu semua golongan termasuk orang kurang upaya (OKU).

USM memulakan advokasi kelestarian secara rasmi melalui kempen Keranda Putih pada 2017 yang mendorong pelajar dan warga kampus mengamalkan kehidupan lestari melalui pengharaman penggunaan polistirena di kafeteria dan menjaga persekitarannya yang berjaya mengubah senario peringkat negara dalam menjaga alam sekitar.

Para pelajar memainkan peranan menentang penggunaan bahan-bahan yang merosakkan alam sekitar dan menggunakan bekas makanan sendiri ketika membeli makanan di kafeteria.

Budaya ini yang mendapat sokongan kuat universiti diterjemahkan dalam mesyuarat-mesyuarat dan majlis-majlis rasmi yang tidak lagi menggunakan botol plastik, apatah lagi bekas makanan dari polistirena termasuk ketika sambutan hari raya.

Universiti memperkenalkan juga Minggu Siswa Lestari yang mendidik pelajar baharu untuk mengamalkan budaya hidup lestari, menggunakan sumber tenaga dengan cekap, kitar semula, memberikan bekas makanan dan minuman yang boleh diguna semula dan sebagainya.

Amalan gotong-royong diamalkan oleh pelajar di asrama dalam menjaga kebersihan blok penginapan dengan memberi ganjaran untuk kos cucian yang dibayar terhadap kontraktor kepada mereka bagi menjalankan aktiviti.

Hal ini diperkukuhkan dengan adanya Pimpin Siswa kepada semua pelajar baharu dengan modul menggabungkan usaha melahirkan siswazah yang holistik dan patriotik. Pimpin adalah singkatan daripada Program Intensif Meningkatkan

Pengupayaan Insan menekankan kepada interaksi sosial dan perpaduan dalam kalangan pelajar serta kemahiran insaniah yang diterapkan melalui modul-modul yang dibangunkan terutama berkaitan kelestarian.

Kini, usaha kelestarian giat dijalankan termasuk di Kampus Kesihatan Kelantan yang aktif mendorong pelajar melaksanakan pelbagai aktiviti kelestarian dan membantu golongan OKU melalui program-program khas.

Penyelidikan-penyelidikan universiti juga banyak tertumpu kepada mengubah taraf hidup masyarakat dengan berkongsi dan memindahkan ilmu untuk melakukan perubahan sosioekonomi di samping bersama-sama memanfaatkan sumber untuk meningkatkan pencapaian pendidikan dan taraf hidup masyarakat.

Semua ini perlu dijadikan budaya oleh universiti bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi juga seluruh warganya dalam kesejahteraan komuniti dan melestarikan kehidupan secara inklusif sekali gus menjayakan Malaysia Madani berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×