KOTA BHARU: Masalah hakisan di pinggir Pantai Sabak di sini yang berterusan sejak 1980-an menyebabkan puluhan rumah penduduk lenyap ‘ditelan’ laut.
Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke kampung lain dan membina rumah baharu dengan bantuan kerajaan negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Nik Yah Mahmud, 68, berkata, dia kehilangan rumahnya akibat hakisan pantai kira-kira 30 tahun lalu.
Menurutnya, kampung yang dikenali sebagai Kampung Pantai Dasar, Sabak hanya tinggal kenangan selepas turut musnah akibat hakisan.
“Setiap kali air pasang, ombak besar akan membawa air laut serta pasir sehingga ke dalam rumah dan setiap malam kami akan berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Waktu itu, selagi rumah dapat diduduki, kami masih lagi bertahan sehinggalah semua rumah penduduk di kawasan berkenaan ditenggelami air dan pasir,” katanya ketika ditemui di rumah baharunya di Kampung Pantai Sabak di sini semalam.
KEHILANGAN
Nik Yah berkata, setelah kehilangan rumah, dia bersama suami serta anak-anaknya terpaksa menyewa selama setahun sebelum menerima tanah daripada kerajaan negeri.
Katanya, ketika itu lebih 40 keluarga diberi tanah di Kampung Pantai Sabak, manakala selebihnya berpindah ke kawasan lain.
“Kami gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menyediakan tanah untuk kami membina rumah baru.
“Rumah yang baharu ini kami diami sejak lebih 20 tahun yang dibina sendiri oleh suami saya, Mat Husin Abdul Rahman, 69,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Raja Zainab Raja Abdullah, 69, berkata, dia turut kehilangan rumah disebabkan hakisan.
“Saya masih ingat dahulu setiap kali air pasang besar, kami penduduk kampung akan membuat sendiri benteng dengan mengisi pasir di dalam guni bagi menghalang air daripada masuk ke dalam rumah.
“Bagaimanapun, hakisan semakin teruk dan rumah kami tidak dapat diselamatkan. Saya sempat menumpang di rumah kedua ibu bapa saya sebelum kerajaan negeri membantu memberikan tanah untuk kami membina semula kediaman baharu,” katanya.- UTUSAN











