Rakyat makin selesa ritma kerajaan perpaduan - Utusan Malaysia

Rakyat makin selesa ritma kerajaan perpaduan

RAKYAT yang telah agak selesa dengan ritma kerajaan perpaduan sudah tidak mempunyai kudrat untuk mendepani satu lagi permainan politik penukaran kerajaan. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP rakyat mengimpikan sebuah negara yang aman, sejahtera dan dapat menjaga kepentingan serta kebajikan mereka. Segala impian ini hanya akan tercapai sekiranya sesebuah negara memiliki kestabilan kerajaan. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan hampir di seantero, kestabilan ditekankan sebagai unsur penting untuk melahirkan sebuah kerajaan yang maju dan berdaya saing.

Sama ada sesebuah kerajaan itu stabil ataupun tidak pula ditentukan oleh kestabilan politik. Kestabilan politik, bukan sahaja mampu menjamin keutuhan teras pemerintahan, malah menjadi tiang menyokong pelaksanaan dasar-dasar yang dirancang untuk usaha memacu pembangunan sosioekonomi negara.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), negara kita terpaksa mendepani satu episod politik yang agak bergelora. Kita memperoleh tiga perdana menteri sebelum tamatnya satu penggal Parlimen dengan percaturan politik yang berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun ketiga-tiga perdana menteri berusaha untuk mewujudkan kestabilan politik dengan acuan masing-masing, namun perubahan tampuk pemerintahan berulang kali dalam satu jangka masa pendek bukanlah sesuatu yang sihat.

Sebuah negara yang mempunyai kestabilan politik dapat merancang dan melaksanakan segala dasar dan program pembangunan dengan baik, tanpa sebarang kepincangan. Rakyat dapat menikmati manfaat daripadanya dan kehidupan mereka lebih aman, sejahtera dan terjamin. Kestabilan politik juga penting untuk menjamin perkembangan ekonomi domestik. Pihak luar, khususnya pelabur global akan mengutamakan negara yang stabil.

Bagi mereka, negara-negara yang bergolak dari segi politik adalah tidak selamat dan membahayakan pelaburan. Siapa yang mahu kehilangan duit sendiri di tanah orang lain? Apabila tiada kemasukan pelabur asing, maka ekonomi domestik akan turut terjejas.

Kestabilan politik juga menjadi penanda aras bagi mewujudkan hubungan diplomatik. Negara luar hanya akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan lebih erat dan selesa sekiranya ada senario politik yang kukuh dan utuh. Negara luar mempunyai keyakinan untuk membentuk hubungan dua hala untuk kepentingan bersama.

KUCAR-KACIR

Sebenarnya hubungan diplomatik ini memberi banyak faedah. Aspek-aspek seperti keselamatan dan pertahanan, kerjasama ekonomi, sosial dan pendidikan dapat dilestarikan dengan adanya hubungan diplomatik yang baik.

Dalam pada itu, pada 2022, PRU15 menyaksikan penubuhan kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun ada suara-suara kebimbangan terhadap kemandirian kerajaan perpaduan, namun Perdana Menteri berjaya menepis persepsi tersebut dan mengemudi jentera pentadbiran hingga kini.

Apatah lagi, beliau berjaya membuktikan keabsahan sebagai Perdana Menteri dengan kelulusan undi percaya di Dewan Rakyat pada Disember lalu. Acap kali, Anwar menekankan soal kestabilan landskap politik terutama dalam ceramah dan lawatannya. Ini merupakan satu strategi bijak dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik di negara ini.

Akan tetapi, kita dapat lihat sejak kebelakangan ini, desas-desus untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada mula kedengaran. Sama ada benar ataupun tidak, perkhabaran ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kestabilan politik di negara ini.

Rakyat sebenarnya agak terkejut dan runtun dengan perkembangan terbaharu ini. Mereka tidak mahu diheret ke dalam satu situasi yang kucar-kacir dan tiada hala tuju. Malahan mereka tidak mempunyai kudrat untuk mendepani satu lagi permainan politik yang tidak membawa sebarang makna.

Kini, apa yang sangat diinginkan oleh rakyat ialah sebuah kehidupan yang lebih baik selepas diseret ke dalam lubuk kepayahan dan kesengsaraan sewaktu pandemik Covid-19. Rakyat sebenarnya sudah agak selesa dan mula mengadaptasi ritma kerajaan perpaduan.

Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memulihkan semula kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) menambat hati rakyat. Mereka yakin dan percaya bahawa pentadbiran kerajaan perpaduan memiliki prinsip kebertanggungjawaban yang tinggi.

Dalam pada itu, kita harus mengingatkan diri dan berbalik kepada titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu perasmian penggal Parlimen ke-15 pada Februari lalu. Seri Paduka mengingatkan agar kemelut politik dihentikan demi membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.

Baru-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menyuarakan kebimbangan baginda. Baginda menitahkan agar kegusaran politik yang cuba dicetuskan oleh segelintir pihak ini ditamatkan dan fokus diberikan kepada aspek kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Amanat kedua-dua baginda ini perlu dijadikan pedoman buat kita semua agar luka lama tidak berdarah semula. Pendek kata, kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan utuh untuk terus maju dan kekal terapung dalam arus globalisasi penuh cabaran. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memberi kerjasama dan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada. – UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×