PETALING JAYA: Kerajaan disarankan untuk lebih mengutamakan mengisi kekosongan jawatan guru yang semakin meningkat akibat persaraan awal golongan tersebut berbanding mewujudkan pembantu guru.
Hal ini disebabkan jawatan pembantu guru dilihat akan memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan bagi mewujudkan perjawatan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, buat masa ini, cadangan mewujudkan jawatan pembantu guru adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Jelasnya, ia disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan ketika ini malah jawatan tersebut memerlukan belanja besar.
“Apa yang harus dipenuhi adalah kekosongan guru yang semakin meningkat akibat besara awal dan pertambahan sekolah di seluruh negara.
“Setakat ini memadai dengan pembantu pengurusan murid bagi prasekolah dan pendidikan khas,” katanya.
Jelas beliau lagi, walaupun NUTP memperjuangkan isu pembantu guru namun pihaknya faham situasi kewangan negara masa kini dan belum masanya untuk ditunaikan.
Terdahulu akhbar ini melaporkan bahawa cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mewujudkan pembantu guru sejak lima tahun lalu dipersoal dan disifatkan sebagai retorik yang hanya bertujuan menyedapkan hati golongan pendidik di seluruh negara.
Cadangan tersebut disuarakan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik namun sehingga kini belum direalisasikan.
Jelas Fouzi lagi, kerajaan pernah mewujudkan jawatan pembantu guru dalam projek rintis yang dikenali sebagai PT Rintis pada tahun 2016 namun ditamatkan dua tahun kemudian.
“Ya pernah diadakan di Melaka dan Kedah tetapi kerajaan mendapati belum sesuai dan kos yang tinggi,” katanya. – UTUSAN











