MELAKA: Selepas hampir 41 tahun Perlumbaan Perahu Naga Melaka hanya bergelar acara tempatan, kerajaan negeri akhirnya berhasrat menjadikan pertandingan itu bertaraf dunia sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, perlumbaan perahu naga adalah salah satu perayaan tradisional utama kaum Cina iaitu acara sukan air utama yang wujud sejak 2,000 tahun lalu.
Beliau berkata, pembukaan penyertaan kepada lain-lain negara dijangka dapat mempromosikan Melaka bagi mencapai sasaran TMM 2024 iaitu 8.4 juta kehadiran pelancong.
Ujarnya, untuk tahun ini, Perlumbaan Perahu Naga Melaka bakal berlangsung dari 8 Jun sehingga 2 Julai ini di Sungai Melaka berhampiran Dataran Persahabatan Malaysia-China dan River Information Centre (RIC), Pengkalan Rama di sini.
“Pemilihan Sungai Melaka sebagai lokasi program adalah kerana lokasinya yang strategik dan mempunyai fasiliti mencukupi bagi penganjuran program ini. Ia mampu menarik pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat perlumbaan perahu naga dan program diadakan.
“Perlumbaan ini diadakan sempena Pesta Duanwu iaitu salah satu perayaan tradisional utama dalam kaum Cina dan adalah acara sukan air yang utama,” katanya di Pejabat Bahagian Promosi Pelancongan, Kota Cemerlang di sini, semalam.
Menurut Abdul Razak, sebagai pembukaan, satu perarakan perahu naga diadakan pada 18 Jun ini di Dataran Persahabatan Malaysia-China.
“Perarakan ini menjadi simbolik kepada pembukaan rasmi Perlumbaan Perahu Naga Melaka yang berlangsung pada 2 Julai di RIC, Pengkalan Rama. Program ini dikategorikan sebagai subsektor pelancongan sukan Melaka, sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong,” katanya. – UTUSAN











