PADA 8 Mac lalu, genap sembilan tahun pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal hilang daripada imbasan radar awam semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira pukul 1.30 pagi (waktu Malaysia). Pesawat yang berpatah balik itu, kali terakhir dikesan oleh radar tentera Malaysia berhampiran Pulau Perak di Kedah kira-kira pukul 2.15 pagi.
Seperti disebut dalam laporan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia pada 2018, pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kehilangan pesawat jenis Boeing 777 itu yang sepatutnya mendarat di Beijing, China kira-kira pukul 6.30 pagi pada 2014.
Laporan ini boleh disifatkan paling telus kerana tidak terperangkap dalam pertembungan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Ketua penyiasat, Datuk Kok Soo Chon berkata, pasukannya tidak dapat menentukan sebab sebenar kehilangan pesawat itu setelah mengenal pasti tujuh teori yang munasabah termasuk konspirasi, khabar angin dan gosip dalam media sosial.
Walaupun beberapa serpihan disahkan milik pesawat itu telah dijumpai, ia tetap menjadi misteri sehingga ada pihak cuba mencari jawapan dari sudut paranormal, iaitu kajian fenomena yang tidak dapat dijelaskan secara saintifik atau rasional.
Sebenarnya terdapat dua versi punca kehilangan pesawat terbabit. Pertama, yang turut disahkan oleh sebuah institut penyelidikan awam di AS yang didakwa mempunyai hubungan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Institut itu pada 2018 mengaplikasikan teknologi yang dipatenkan dengan nama Scientific Remote Viewing (SRV) menggunakan minda separa sedar yang mendakwa juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, adalah penyebab utama tragedi MH370.
Sebab itu, pencarian dilakukan di tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth, Australia di kawasan dikatakan Zaharie membiarkan pesawat kehabisan minyak dan terhempas.
Perlu ditekankan, proses pencarian di Lautan Hindi adalah berasaskan maklumat disalurkan oleh data dari satelit Inmarsat yang digunakan untuk komunikasi dan tidak mempunyai ketepatan tinggi bagi menentukan lokasi.
Cukup aneh, pasukan dari Malaysia terlibat aktif dalam pencarian berhampiran Australia, seolah-olah mempercayai naratif bahawa Zaharie telah membunuh diri sedangkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menyatakan sebaliknya. Menurut Pesuruhjaya ATSB, Greg Hood, data satelit Boeing 777 menunjukkan pesawat itu menjunam hampir 400 kilometer sejam sebelum ia terhempas ke dalam laut sekali gus menunjukkan bahawa tiada sesiapa yang mengawal pesawat tersebut.
Kenyataan itu konsisten dengan dokumentari disiarkan perkhidmatan penstriman video, Netflix pada Mac lalu bertajuk MH370: The Plane that Disappeared dan laporan Pasukan Penyiasatan Keselamatan ICAO Malaysia yang menegaskan tidak terdapat petanda yang boleh menyokong teori juruterbangnya membunuh diri.
Versi kedua, daripada para penyiasat bebas yang menggunakan dua sumber data iaitu dari satelit Inmarsat dan kenyataan saksi yang meletakkan lokasi pesawat terhempas di antara Maldives dan Madagascar.
CUAI
Di sebelah selatan lokasi itu terletak pangkalan tentera AS di Diego Garcia yang mempunyai unit angkasa lepas dan landasan yang panjangnya lebih daripada mencukupi untuk membolehkan Boeing 777 mendarat.
Sebuah portal berita Maldives melaporkan, seorang penduduk di pulau Kuda Huvadhoo mendakwa ternampak sebuah pesawat terbang rendah pada waktu pagi 8 Mac. Pelayar Britain, Katherine Tee pula mendakwa melihat pesawat sedang terbakar dengan asap hitam ketika mengemudikan kapal layar dari Kochi, India ke Phuket, Thailand pada waktu hampir sama.
Rakyat Malaysia, Raja Dalelah Raja Latife dalam Penerbangan Saudi SV2058 yang berlepas dari Jeddah pada tarikh sama turut mendakwa melihat pesawat separuh terapung dan sebahagian besar lagi badan berada di dalam air dengan keadaannya senget sebelah ketika kapal terbangnya memasuki ruang udara Laut Andaman kira-kira pukul 7.30 pagi (waktu Maldives).
Ketika kita tertanya-tanya kenapa operasi pencarian ditumpukan di kawasan yang sangat jauh dari lokasi dinyatakan saksi, baru-baru ini dimuat naik dalam YouTube, dua klip video dakwaan yang kita tidak pernah dengar sebelum ini daripada penyiasat paranormal dari AS yang telah 14 tahun terlibat dalam bidang itu, Dr. Elisa Medhus bahawa pesawat itu terhempas setelah berlanggar dengan satelit pemantau alam sekitar (remote sensing).
Video pertama yang dimuat naik pada 6 April lalu menggunakan kaedah Mind Probe yang hampir sama seperti SRV. Video kedua pada 7 April pula menggunakan khidmat medium atau pengantara, Denise Ramon.
Kaedah itu walaupun agak diragui ketepatannya kerana banyak medium lain membuat pelbagai dakwaan berlainan, diakui boleh dilakukan oleh Pengarah Makmal untuk Kemajuan dalam Kesedaran dan Kesihatan (LACH), Universiti Arizona, AS, Profesor Dr. Gary E. Schwartz dengan cara mengubah suai peralatan komunikasi sedia ada.
Difahamkan Zaharie tidak menyedari pesawat telah dilencongkan kerana segala maklumat yang dipaparkan pada panel kokpit adalah normal dan hanya sedar setelah enjin pesawat dilanggar satelit sebesar kenderaan pacuan empat roda. Jika benar, ini menguatkan dakwaan pesawat diambil alih secara kawalan jauh dan telah berpatah balik ke destinasi baharu.
Bagaimanapun, satu persoalan yang belum terjawab, adakah pesawat itu bernasib malang kerana berada di laluan satelit yang sedang jatuh? Mungkin juga ia satelit yang digunakan untuk mengambil alih kawalan MH370 dan akibat kecuaian atau sabotaj pihak ketiga telah menyebabkan berlaku pertembungan.
Setakat ini, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang diminta mengulas maklumat terbaharu itu belum memberikan sebarang maklum balas sama ada menafikan atau mengiakan dakwaan terbabit.
Jika benar, maka dengan mengenal pasti rekod pergerakan satelit dan tempat ia jatuh pada 8 Mac 2014, kita dapat menentukan kedudukan terakhir pesawat MH370.
Kita semua tidak boleh menyerah kalah. Seperti ditulis bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Facebook beliau pada 8 Mac lalu, “Kemungkinan besar mereka tidak lagi bernyawa kerana apabila pesawat itu diambil-alih oleh orang lain dan diterbangkan ke destinasi lain, nasib penumpang pastinya akan menjadi seperti pesawat itu. Saya berdoa dan berharap kita dapat terus mencari pesawat itu.”-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











