Selamat berangkat tetamu Allah

Selamat berangkat tetamu Allah

JANGAN terikut-ikut dengan perbuatan jemaah lain ketika melakukan ibadah sebaliknya buatlah sebagaimana yang diajar dalam kursus-kursus oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM haji tiba lagi. Penerbangan pertama (KT1) bakal haji dijadual berlepas Ahad ini, 21 Mei bersamaan 1 Zulkaedah, insya-Allah. Tahun ini, jumlah yang dijemput menjadi duyufurrahman (tetamu Allah) adalah 31,600 orang. Pastinya, bakal-bakal haji gembira tidak terkira. Maklumlah, dengan menunaikan haji maka lengkaplah rukun Islam yang lima.

Kefarduan menunaikan haji dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan me­nunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (al-Hajj: 27)

Kumpulan 160 petugas haji Lembaga Tabung Haji (TH) Musim Haji 1444H/2023M sudah berlepas ke tanah suci pada 14 Mei lalu bagi membuat persediaan awal untuk menyantuni jemaah haji negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, seramai 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi bagi menjayakan perjalanan operasi haji tahun ini. Mereka terdiri daripada 340 petugas kebajikan, 296 petugas perubatan dan selebihnya daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta media.

Tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada Selasa, 27 Jun 2023. Dalam pada itu, sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan Syarikat Penerbangan Malaysia dan Saudi.

Sememangnya mahu buat haji sekarang tidak semudah tahun 80 dan awal 2000. Sekarang selain berlaku peningkatan kos, semua negara tertakluk kepada kuota yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Sistem pendaftaran haji terbuka sedia ada berdasarkan konsep Mendaftar Dahulu, Didahulukan telah dilaksanakan oleh TH sejak tahun 1995. Ketika ini, pendeposit TH yang mendaftarkan ibadah tersebut akan menerima giliran untuk tempoh 115 tahun akan datang susulan kekangan kuota yang ditetapkan Arab Saudi.

Untuk itu, amat penting kepada bakal haji melaksanakan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna. Sebabnya, kefarduan haji itu adalah sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Justeru, hendaklah dilakukan yang terbaik.

Bagi mencapai haji yang mabrur, bukan sahaja perlukan tumpuan dan keikhlasan beribadat di tanah suci. Ia juga memerlukan kawalan hawa nafsu yang cukup kental. Mereka yang mengerjakan haji perlu banyak bersabar terhadap apa juga mehnah dan cabaran.

Paling penting, jaga mulut dan elak riak. Jangan terlepas kata-kata yang mencaci, nista, bertengkar dan memburuk-burukkan orang. Jangan dicaci makanan jika tidak menepati selera kita atau terkurang masin di sana dan sana. Maklumlah memasak untuk jumlah puluhan ribu orang tidaklah semudah memasak untuk sekeluarga lapan atau 10 orang. (rujuk al-Baqarah ayat 197).

Jaga kesihatan supaya boleh melaksanakan ibadat dengan sempurna. Dengan keadaan cuaca panas sekarang, dinasihatkan untuk tidak terus mandi apabila sampai di hotel baik di Madinah atau Mekah. Bagi masa untuk badan menyesuaikan diri dengan cuaca yang panas dan kering di sana. Ini dapat mengelakkan daripada demam, insya-Allah.

Semasa di tanah suci, usahakan untuk solat berjemaah setiap waktu di Masjid Nabi dan Masjidilharam. Jangan kita terpengaruh dengan perbuatan segelintir jemaah haji dari negara lain yang hanya solat di hotel. Sentiasa ingatkan diri yang tujuan kita ke tanah suci iaitu melakukan ibadat semaksimum mungkin.

Dalam melakukan tawaf jangan pula kita terikut-ikut perbuatan jemaah haji lain waima mereka orang Arab sekalipun. Buatlah sebagaimana yang diajar dalam kursus-kursus oleh pihak TH. Jika ada masalah, jangan segan atau malu bertanya kepada pakar rujuk atau pembimbing haji yang disediakan oleh TH.

Sentiasalah bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan dan kemudahan beribadat. Pastikan juga kita menggunakan kesempatan ini berdoa di tempat-tempat mustajab. Kalau di Masjid Nabawi Madinah, pastinya Raudhah menjadi tum­puan. Di Masjidilharam antara tempat yang mustajab berdoa adalah:

Multazam: iaitu tempat di antara pintu Kaabah dan rukun Hajar Aswad.

Hijir Ismail: iaitu bangunan terbuka, berbentuk sete­ngah lingkaran berada di sebelah barat Kaabah.

Maqam Ibrahim: Maqam bererti tempat berpijak. Maqam Ibrahim adalah batu yang dipergunakan Nabi Ibrahim untuk berpijak ketika membina Kaabah. Menurut salah satu riwayat, batu ini adalah salah satu batu yang turun dari syurga seperti halnya hajar aswad.

Jemaah haji juga perlu melengkapkan diri dengan aplikasi tertentu seperti Nusuk untuk masuk ke Raudhah di Masjid Nabawi. Nusuk yang dilancarkan pada 18 November 2022 menggantikan aplikasi Eatmarna, ketika ini hanya mengandungi empat bahasa iaitu Arab, Inggeris, Rusia dan Indonesia.

Berita baiknya, Kerajaan Arab Saudi bakal memperkenalkan aplikasi atas talian, Nusuk dalam versi bahasa Melayu untuk kemudahan para jemaah umrah dan haji dari Malaysia.

Bagi yang membuat haji tamattu’, selepas menunaikan umrah wajib, ambillah peluang melakukan umrah sunat semasa jemaah haji masih belum ramai. Susun jadual contohnya boleh buat umrah sunat sehingga 19 Jun iaitu 1 Zulhijjah. Selepas itu, eloklah menumpu kepada solat jemaah dan umrah sunat sementara menunggu masyair (kemuncak) ibadat haji.

Jemaah haji juga mesti membiasakan diri dengan suasana di Mekah dan Madinah. Contohnya, di Masjid Nabawi dan Masjidilharam azan Subuh dikumandangkan dua kali iaitu azan yang pertama antara pukul 3 pagi dan azan kedua antara pukul 4 pagi iaitu waktu solat sebenar. Antara tujuannya, mengejutkan umat Islam untuk bersiap sedia ke masjid bagi solat Subuh berjemaah.

Kesempatan berada di tanah suci, jangan lepaskan peluang menikmati air paling sedap dan suci di dunia iaitu zamzam. Sediakan botol kosong agar boleh diisi dengan zamzam untuk dinikmati sepanjang berada di tanah suci.

Bagi yang mahu iktikaf di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, persiapkan dengan bekalan buah-buahan atau roti sebagai lapik perut. Waktu yang dicadangkan adalah masuk ke masjid pada waktu Dhuha hingga Zuhur. Kemudian boleh balik untuk berehat di hotel sebelum datang semula untuk waktu Asar hingga Isyak.

Paling penting ba­nyakkan berdoa dan ikhlas beribadat agar beroleh haji mabrur. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Haji yang mabrur itu balasannya adalah syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim)-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×