PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera mengisytiharkan darurat iklim bagi menyelamatkan bandar dan kawasan di negara ini yang diancam peningkatan paras air laut daripada tenggelam akibat pemanasan global dan cuaca ekstrem.
Ia perlu kerana kesannya telah menyebabkan tragedi kehilangan nyawa dan tempat tinggal, malah boleh menggugat jaminan rantaian makanan 32.4 juta penduduk di negara ini .
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean berkata, darurat iklim penting membantu kerajaan mengambil tindakan pantas seperti pengisytiharan darurat kesihatan semasa Covid-19 sebelum ini.
Katanya, ia juga membolehkan kerajaan menukar polisi, cara hidup serta aktiviti yang mengancam peningkatan suhu.
“Sekarang memang sudah terbukti apa yang kita praktik akan memusnahkan apa yang kita ada.
“Kita sudah ada kematian akibat strok haba, pernahkah di Malaysia yang mana negara banyak hutan dan taburan air hujan sepanjang tahun meninggal akibat strok haba? Ini sepatutnya jadi satu amaran untuk mengisytiharkan darurat iklim.
“Apabila sudah darurat iklim bermakna kerajaan akan dengan segera dapat mengambil tindakan untuk melambatkan pemanasan global.
“Salah satunya mengharamkan semua jenis perlombongan pasir, kuari dalam hutan, hentikan pembalakan dan memastikan pelepasan gas rumah hijau daripada kereta tidak lagi pada kadar yang tinggi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan, beberapa bandar di negara ini bakal hilang berikutan kenaikan paras laut menjelang 2050 iaitu kurang 30 tahun daripada sekarang.
Antara faktor utama mengakibatkan kenaikan paras laut adalah pencairan glasier Greenland dan Antartika serta kepingan ais, perubahan suhu dalam simpanan daratan dan faktor paling mendominasi ialah pengembangan haba lautan.
Berdasarkan kajian terbaharu oleh Nature Communications iaitu Elevation Data Triple Estimation to Sea – Level Rise and Coastal Flooding yang diperoleh Utusan Malaysia, antara negeri yang bakal terjejas adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.
Malah melalui laporan sama mendapati populasi Asia paling banyak terdedah kepada kenaikan paras laut iaitu sebanyak 70 peratus di peringkat global.
Mengulas lanjut, Damien berkata, pihaknya tidak menolak kehilangan kawasan itu berkemungkinan berlaku lebih cepat sekiranya tidak ada apa-apa tindakan untuk menghentikan atau mengurangkan pemanasan global.
Katanya, ini kerana tempoh 2050 itu sudah dianggarkan sejak sedekad lalu. Dengan data-data saintis sudah pun mendapati pencairan ais di kutub utara dan selatan semakin cepat.
“Mengisytiharkan darurat iklim bukan sesuatu yang asing, tetapi 30 negara sudah isytiharkannya. Sebelum ini ada menteri katakan Malaysia tidak terjejas perubahan iklim, tetapi laporan kajian sebaliknya dan berlambak kajian menunjukkan jika tindakan tidak diambil, maka kita tidak lagi boleh meneruskan cara hidup sekarang.
“Setiap hari akan merasakan pemanasan global, jadi sebab cara hidup kita. Misalnya ada lebih 900,000 kenderaan persendirian di kawasan Lembah Klang, bayangkan 900,000 kereta itu mengeluarkan asap setiap pagi hanya untuk memanaskan enjin sahaja.
“Kita juga sudah kehilangan lebih 50 nyawa akibat bencana banjir pada Disember 2021 lepas dengan ramai terpaksa berpindah dan jadi pelarian akibat pemanasan global.
“Kerugian akibat bencana alam yang dijana pemanasan global itu adalah RM6.7 bilion, itu cuma dalam masa seminggu, tetapi pendapatan untuk ekonomi akibat aktiviti yang mendorong peningkatan pemanasan global sampai ke RM6.7 billion? Jadi kerugian itu lebih tinggi daripada pendapatan,” katanya.
Beliau menambah, darurat iklim sekiranya mahu dilaksanakan perlu mengambil tempoh panjang dengan pelbagai kajian perlu dibuat.
Selain itu katanya, kerajaan boleh menggunakan apa-apa jenis fakta dan kajian saintifik yang telah ada untuk melaksanakan polisi yang boleh menurunkan atau melemahkan kadar pemanasan global.
“Kerajaan boleh melihat atau mendapat data-data daripada syarikat kereta yang mana jika sesebuah kereta itu dipanaskan, maka berapa banyak asap dikeluarkan, selepas itu boleh beritahu jumlah yang dilepaskan itu apa kesannya untuk alam sekitar kepada umum.
“Seterusnya, banyak kawasan terbuka di Malaysia seperti sekolah, hospital atau kawasan yang dimiliki oleh korporat yang boleh dijadikan kawasan penajaan solar, banyak lagi jenis polisi baru yang boleh diadakan kerajaan dengan memberikan insentif kepada mereka yang ingin melaksanakan atau menjana tenaga hijau, semua ini tidak dilakukan lagi atau mungkin dalam rancangan, tetapi terlalu lambat.
“Sikap mahu tidak mahu ini tidak perlu dipraktikkan lagi kerana ini ancaman yang boleh mengambil nyawa,” jelasnya. – UTUSAN








