PETALING JAYA: Sungai dan empangan negeri di sebelah utara Semenanjung terutamanya Pulau Pinang dan Perlis selain di Johor berisiko ancaman kemerosotan tahap air susulan cuaca panas melampau di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S. Piarapakaran berkata, negeri di bahagian utara itu berisiko kerana mengalami tempias daripada iklim monsun tropika yang menyebabkan taburan hujan berkurang.
Katanya, walaupun Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak beriklim hutan hujan tropika atau khatulistiwa, negeri di sebelah utara dapat impak daripada Thailand yang beriklim tropika.
“Di Johor risiko itu boleh berlaku kerana kawasan Banjaran Titiwangsa yang merupakan kawasan tadahan tidak mengunjur sampai ke kawasan hujung negeri itu, sebab itu akan ada masalah air mentah.
“Sekarang apa berlaku di Johor adalah banyak kawasan pertanian seperti ladang kelapa sawit dan sebagainya, jadi apabila musim panas, air yang ke sungai akan semakin berkurang dan itu akan menjadi masalah.
“Namun, negeri yang terdekat dengan Banjaran Titiwangsa sepatutnya tidak ada masalah. Kedah, Kelantan dan Terengganu yang banyak terdedah kepada banjaran itu sepatutnya tidak ada masalah, cuma jika ada maka itu disebabkan masalah pengurusan.
“Semua ancaman ini akan menyebabkan risiko bekalan air terputus. Ramai akan bising dan jika musim panas berpanjangan, ini menyebabkan trauma kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebagai rekod, terdapat 18 empangan di Perlis, Pulau Pinang dan Johor yang meliputi empangan pengairan, saliran dan tebatan banjir di Timah Tasoh dan empat empangan bekalan air di Pulau Pinang dan 13 di Johor.
Setakat semalam, paras air Sungai Muda dilaporkan menurun mendadak menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pulau Pinang serta sekitar Sungai Petani dan Kulim di Kedah mengalami krisis bekalan air.
Bagaimanapun, kerosakan sensor automatik di baraj Sungai Muda dilaporkan menjadi penyebab air mengalir ke laut dalam kuantiti banyak sehingga mengakibatkan paras sungai itu susut mendadak.
Mengulas lanjut, Piarapakaran berkata, pihaknya bagaimanapun menjangkakan aras sungai Selangor akan mula menurun pada Jun kerana taburan hujan yang diramalkan berkurangan pada waktu itu.
Oleh itu katanya, empangan air sungai Selangor itu akan dilepaskan secara berperingkat untuk loji-loji perawatan air yang berada di sepanjang sungai Selangor sekali gus mengelakkan penurunan tahap air di sungai.
“Cuma yang lebih membimbangkan adalah apabila perangkaan antarabangsa meramalkan keberangkalian El Nino terbentuk pada September ini sekitar 80 peratus dan apabila terbentuk ia akan mengurangkan taburan hujan dan empangan kita tak ada cukup air.
“Tetapi selepas setahun baru nampak impak sepenuhnya, cuma dari segi perancangan kita boleh buat persediaan bukan tunggu dan lihat, namun kena awal kerana kita tidak tahu jenis dan kesannya yang bagaimana,” katanya.
Bagaimanapun beliau menambah, semua pihak tidak boleh menyalahkan keadaan cuaca sekiranya panas melampau kerana cuaca tidak banyak berubah, tetapi keadaan sekeliling.
Katanya, ini kerana hutan berfungsi mengurangkan cuaca panas selain mengurangkan kekerapan bencana banjir.
Jelas beliau, sebelum ini ramai pihak katakan penebangan hutan tidak ada kaitan dengan cuaca panas melampau, tetapi hutan sebenarnya adalah sebahagian kitaran air.
“Apabila hutan ditebus guna, fungsinya sudah tidak lagi sama dengan hutan asal atau hutan dara. Kalau jalan di kawasan hutan dan tiba-tiba hujan sedangkan di bandar tidak, itu sebab kawasannya ada kitaran air sendiri, maka apabila sudah habis, tak ada lah.
“Ini kerana pembentukan wap air tinggi di kawasan hutan. Apabila awan bergerak (serap air) maka hujan turun, tetapi apabila kita teroka hutan atau ganti hutan tanaman lain, hutan tak dapat bantu kita lagi,” katanya. – UTUSAN










