Tiada campur tangan istana dalam kes fitnah Sultanah Terengganu

Tiada campur tangan istana dalam kes fitnah Sultanah Terengganu

CLARE REWCASTLE-BROWN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown tetap dibicarakan secara adil terhadap pertuduhan memfitnah Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika kes didengar di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman menegaskan, tidak pernah wujud campur tangan daripada mana-mana pihak luar termasuk pihak istana sendiri (Terengganu) dalam kes ini sepanjang proses pendakwaan terhadapnya.

“Pegawai mahkamah yang dilantik akan menjalankan tugas dengan adil tidak kira sama ada ia melibatkan istana atau pemohon (Clare).

“Tidak ada satu keterangan konklusif dikemukakan pemohon (Clare) yang menunjukkan Mahkamah Majistret berkemungkinan akan bertindak tidak adil dalam pendengaran kes ini.

“Saya percaya kewibawaan hakim bicara tidak perlu dipertikai kerana ia menjurus kepada penghinaan mahkamah. Saya mohon permohonan Clare ditolak kerana sepanjang proses pendakwaan, tidak ada sebarang campur tangan daripada pihak istana dalam kes ini,’’ hujah pendakwaan.

Beliau selanjutnya berhujah, pihak pendakwaan selaku responden menegaskan, Clare perlu memastikan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mempunyai merit sebelum permohonan itu dibenarkan.

Selain itu, Noor Haslinda berkata pemohon sepatutnya memfailkan permohonan untuk memindahkan kes tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bukannya di Mahkamah Tinggi di sini.

Sementara itu dalam isu lain, Noor Haslinda turut memaklumkan pihak berkuasa Malaysia melalui notis merah Interpol masih gagal menyampaikan waran tangkap ke atas Clare meskipun pemohon telah didakwa secara in-absentia (tanpa kehadiran tertuduh) pada 23 September 2021.

Terdahulu semasa prosiding, peguam Guok Ngek Seong berhujah mewakili Clare bahawa permohonan anak guamnya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah kebimbangan yang munasabah selain sikap pilih kasih mahkamah di Terengganu bagi bicara kes tersebut.

“Pemohon (Clare) tidak mempersoalkan integriti mahkamah rendah tetapi dia mungkin bimbang tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana Mahkamah Majistret berada di negeri yang sama laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak istana,” kata peguam itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak Hakim K. Muniandy menetapkan 21 Jun ini bagi keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan Clare atau menolaknya.

Pada 3 April lalu, Clare gagal buat kali kedua untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1MDB.

Surat tersebut antara lain menyatakan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan terdapat keterangan yang mencukupi untuk mengekalkan pertuduhan terhadap Clare. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×