SELESAI sudah penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di tiga negeri yang dikuasai oleh Pas, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tanpa sebarang insiden.
Di Kedah, ia berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar, pada 29 April. Di Kelantan ia dibuat di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada 12 Mei. Terakhir di Terengganu yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kuala Terengganu, pada 13 Mei.
Masih segar di ingatan kritikan keras Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, ke atas Rumah Terbuka Malaysia Madani ini pada 24 April lalu. Kata beliau, rumah terbuka ini tidak wajar diadakan kerana ia bercanggah dengan langkah jimat cermat kerajaan dan disebabkan ia adalah program kempen pilihan raya.
“Semua tindakan politik ini pergi pada peti undi, rakyat akan nilai hang guna dana kerajaan dana kementerian buat program kempen pilihan raya untuk parti hang, itu tak betul,” katanya.
Lebih keras ialah kenyataan susulan daripada Setiausaha Agung Pas merangkap Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada 26 April lalu.
Ujar beliau, Rumah Terbuka Malaysia Madani ini melangkahi sempadan hormat dan adab antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri serta tidak akan menyumbang kepada hubungan baik antara mereka.
“Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah Persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan,” katanya.
Tambah beliau, “motif politik” kerajaan “tidak boleh disorokkan lagi” dan Kerajaan Pusat kini ‘menculik’ majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya.
Di sebalik kata-kata kerasnya, Muhammad Sanusi bagaimanapun hadir di Hotel Raia, Alor Setar, pada 29 April bila Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu.
Dalam ucapan di Kedah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan tahun ini untuk membangunkan Kedah, lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Selain peruntukan terbabit, bantuan lain termasuk beberapa projek bekalan air di beberapa daerah yang perlu dibantu, bantuan sekolah daif serta bantuan klinik daif, serta kerjasama untuk meningkatkan pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim.
“Terdapat juga beberapa peruntukan permohonan lain yang akan diberikan pertimbangan, kerana sama ada kerajaan itu kerajaan yang bersama dalam kerajaan perpaduan atau tidak, tanggungjawab memelihara rakyat akan diteruskan,” katanya.
Dalam ucapan di Himpunan Madani Kedah 2023 di Dataran Stargate, Alor Setar malam sebelumnya, Anwar berkata, beliau datang ke Kedah bukan untuk bermusuh tetapi untuk menyatakan sudah sampai masa kita bangun semula Kedah.
KEM
Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dalam majlis di Kedah ini malah ia mendapat sambutan hebat puluhan ribu rakyat yang mengunjunginya, begitu juga dengan majlis yang sama di Kelantan dan di Terengganu.
Di Kelantan, Anwar menyatakan hasrat diadakan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah bekalan air bersih yang dihadapi negeri itu sejak berpuluh tahun lalu.
Ujar beliau, tidak wajar isu ini dijadikan sebagai masalah politik yang tidak berkesudahan serta membebankan rakyat dan dana dengan kaedah yang betul akan dicari untuk menyelesaikannya.
Turut dijelaskan ialah usaha-usaha yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan perpaduan dalam meningkatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk di Kelantan, seperti membaik pulih dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan, mengatasi isu banjir dan sebagainya.
Di Terengganu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk bantuan kepada mangsa banjir menjadikan peruntukan keseluruhan ialah sebanyak RM100 juta.
Turut diumumkan ialah kelulusan beberapa projek lain seperti pemuliharaan Sungai Merang, Setiu; pembinaan jalan-jalan desa, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh Banggol Air Lilih, Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering serta pembinaan loji rawatan kumbahan dan paip pembetungan.
Lebih mengujakan bila kedua-dua Menteri Besar Kelantan dan Terengganu, Datuk Ahmad Yakob dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam ucapan mereka di majlis itu mengucapkan terima kasih atas penganjuran Rumah
Terbuka Malaysia Madani ini. Ahmad Yakob berkata, penganjuran majlis itu menjadi platform dalam mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau yakin kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu membantu dalam memudahkan segala urusan berkaitan pembangunan di Kelantan untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat.
Ahmad Samsuri pula berucap mengenai cita-cita besar setiap daripada kita untuk melihat Malaysia yang lebih segar dan baharu serta tekad untuk mengambil pendekatan matang dan sejahtera yang akan lebih menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia.
Atas sebab itulah, beliau dengan rasa rendah diri mencadangkan agar lebih banyak inisiatif non-partisan dan bi-partisan diperkenalkan sebagaimana dalam keadaan tertentu diamalkan di dalam negara maju ketika mereka berdepan dengan suasana yang getir.
Sekali gus, kata-kata kedua-dua menteri besar ini menafikan tuduhan keras Muhammad Sanusi dan Takiyuddin ke atas penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani ini.
Ia juga mengundang persoalan sama ada Pas kini sudah berpecah kepada dua kem, iaitu pihak yang mahu terus berseteru dan pihak yang mahu bersahabat dengan kerajaan perpaduan.
Sepatutnya pihak yang mempertikai memohon maaf kerana tiada langsung unsur kempen pilihan raya atau pembaziran dalam majlis ini, sebaliknya apa yang terzahir ialah keikhlasan Perdana Menteri untuk mendampingi, mengerat hubungan dan membantu segenap golongan rakyat di semua negeri.
Malah, keikhlasan Perdana Menteri terserlah bila beliau dilaporkan berharap, pada pertemuan bersama dua anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini, agar hubungan silaturahim dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dapat dijalinkan semula. Semoga negara akan lebih aman damai berkat kepimpinan Perdana Menteri yang ikhlas. – UTUSAN
DR. Rosli Alani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.











