Benarkan makan di kedai elak restoran gulung tikar - Utusan Malaysia

Benarkan makan di kedai elak restoran gulung tikar

ORANG ramai menjadikan kawasan kaki lima sebagai tempat untuk menjamu selera semasa waktu rehat makan tengah hari di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, semalam. Premis makanan dan restoran hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan bawa pulang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dimin­ta membenarkan pelanggan makan dalam premis bagi membantu pengusaha restoran dan kedai makan mengekalkan pernia­gaan sekali gus mengelakkan ri­si­ko gulung tikar.

Pada masa sekarang, pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membenarkan pelanggan makan dalam premis, sebaliknya mereka hanya boleh membungkus makanan untuk perkhidmatan bawa pulang.

Persatuan Pengusaha Resto­ran Muslim Malaysia (Presma) yang mewakili 4,200 ahli dan 10,000 rangkaian restoran meng­anggarkan sejak PKP dilaksanakan tahun lalu, hampir 300 pengusaha restoran terpaksa menutup perniagaan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, jika larangan tersebut berlarutan, tidak mustahil lebih banyak restoran terpaksa menghentikan operasinya berikutan masalah ke­wangan.

“Bagi tujuan itu, pengusaha pre­mis makanan dan restoran memberi jaminan mereka bersedia sepenuhnya mematuhi pro­sedur operasi standard (SOP) ditetapkan jika kerajaan menarik semula larangan berkenaan dan membenarkan pelanggan makan dalam kedai.

“Pertimbangan kerajaan da­lam perkara itu mampu mening­katkan pendapatan pengusaha premis makanan sehingga 50 pe­ratus berbanding ketika ini yang terjejas teruk sepanjang pelaksanaan PKP,” katanya semalam.

Jelas beliau, kerajaan patut mempertimbangkan kebenaran untuk orang awam makan di restoran ketika semakin banyak kelonggaran dan sektor perniagaan lain dibenarkan beroperasi sejak akhir-akhir ini.

“Keadaan pengusaha restoran sekarang amat teruk kerana keuntungan hanya 25 hingga 30 peratus jika dibandingkan sebelum PKP. Bagaimana kami mahu membayar komitmen bulanan dan teruskan perniagaan?

“Bank pun dah cari kami macam ah long kerana kami tak mampu nak melunaskan bayaran pinjaman. Bukan itu saja, lebih 200 ahli persatuan mengadu yang mereka terpaksa meminjam ah long dengan faedah 36 peratus setahun. Mereka terpaksa buat begitu kerana jika tidak, sudah tentu lagi banyak restoran yang ‘bungkus’,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Mohd. Azizi Mat Resof berkata, kerajaan harus memberi kelonggaran kepada pengusaha makanan dan menumpukan kepada sektor yang menyumbang kepada peningkatan kes Co­vid-19 seperti sektor perkilangan dan pembinaan.

“Kami merayu restoran dibenarkan beroperasi sepenuhnya dan tiada masalah untuk mematuhi SOP ditetapkan seperti hanya dua orang dibenarkan untuk satu meja.

“Memang kebanyakan pengusaha kedai makan hadapi masalah kewangan yang teruk. Kami tidak boleh rehatkan pekerja kerana nanti pekerja pula tiada wang untuk sara keluarga. Perkara ini berantaian dan sebarang keputusan dibuat pasti akan menjejaskan mana-mana pihak,” jelasnya.

Pengarah Urusan Rangkaian Restoran Nasi Kukus My Mama, Datuk Azman Abdul Razak pula berkata, kebenaran pelanggan makan di kedai dengan berpandukan norma baharu dan SOP ditetapkan kerajaan telah dilaksanakan sebelum ini.

“Tentunya kita (pengusaha kedai makan) patuh dan melaksanakan SOP ditetapkan. Kita juga pastinya bimbang berlaku penularan Covid-19 di kedai kerana risikonya kedai akan ditutup.

“Jika premis dibenarkan dine-in, ia dapat membantu memulihkan ekonomi dan kehidupan mereka dan semua yang terlibat dalam rantaiannya,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar, Mohd. Kholib Hamid yakin kerajaan akan memberi pertimbangan wajar ke atas rayuan berkenaan.

“Saya pasti peniaga semua bersedia untuk memastikan SOP ketat di gerai atau restoran masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini