KITA sudah amat biasa dengan frasa ‘bahasa menunjukkan bangsa’ dan ‘bahasa jiwa bangsa.’ Terlalu biasa sehingga kita mungkin tidak cuba berfikir tentang makna sebenar terkandung di dalamnya.
Pada setiap kali peribahasa itu dijadikan slogan dan cogan kata bagi kempen Bulan Bahasa Kebangsaan, kita sering menganggap ia menekankan betapa bahasa menjadi identiti dan ciri pengenalan sesuatu bangsa. Kita juga diberitahu, sejak di bangku sekolah bahawa bahasa pertuturan yang kita gunakan akan menunjukkan kelompok bangsa yang mewakili kita. Misalnya, bahasa Melayu menjadi jiwa bangsa Melayu serta menunjukkan identiti sebagai individu Melayu.
Saya pula sejak dahulu mempunyai pandangan berbeza dan lebih mendalam tentang makna sebenar peribahasa itu. Pada tajuk rencana ini, saya sengaja menggunakan istilah Sanskrit. Kata ‘bahasa’ yang sudah menjadi sebahagian kosa kata Melayu sejak dahulu berasal daripada kata bhasa dalam Sanskrit. Penutur bahasa Tamil, Malayalam, Telugu dan Indonesia pasti turut menyedari hakikat ini.
Istilah ‘jiwa’ juga berasal daripada kata jiva dalam Sanskrit dan sering digunakan dalam konteks agama Hindu, Buddha dan Jain. Istilah daripada bahasa Arab yang sudah agak jarang digunakan ialah ‘roh.’ Misalnya, kita terbiasa menggunakan slogan ‘bahasa jiwa bangsa’ berbanding ‘bahasa roh bangsa.’ Tidak dinafikan ‘roh’ dan ‘jiwa’ membawa konotasi yang sedikit berbeza dalam kalangan orang Melayu kerana ‘roh’ lebih banyak dikaitkan dengan makhluk seperti malaikat dan jin.
Frasa ‘bahasa menunjukkan bangsa’ juga sudah menjadi semacam mantera dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menggunakannya untuk menunjukkan bahasa kebangsaan adalah identiti bagi bangsa Malaysia.
Pada masa sama, frasa berkenaan sering saya dengar menerusi stesen radio Tamil. Frasa mzhi inatin uyir (bahasa ialah nyawa bangsa) dan mozhi inatin adayalam (bahasa ialah identiti bangsa) digunakan khusus untuk menunjukkan kedudukan bahasa Tamil sebagai nyawa dan identiti orang Tamil.
Tindakan orang Tamil mengubah makna asal peribahasa Melayu itu tidak boleh dipersalahkan. Saya katakan demikian kerana pemahaman dan pengertian istilah ‘bangsa’ adalah berbeza dan sentiasa berubah mengikut keadaan.
Umum mengetahui, kata ‘bangsa’ berasal daripada istilah vamsa dalam Sanskrit. Perkataan itu membawa makna keturunan, kaum, bangsa, keluarga, dinasti dan susur galur. Kekeliruan penggunaan istilah ‘bangsa’ dalam konteks Malaysia dihuraikan secara terperinci dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Sebagai contoh, bagi orang Melayu, tidak ada beza antara kategori keturunan, kaum dan bangsa pada apa-apa borang rasmi.
Situasi berbeza bagi orang India yang terdiri daripada keturunan Tamil, Malayali, Punjabi, Telugu, Bengali, Gujarati dan sebagainya. Kaum India di sini berbangga menjadi bangsa Malaysia dan bukannya bangsa India.
Dalam konteks Nusantara, kelompok yang kita kenali sebagai Melayu sebenarnya belum mengambil kira suku Bugis, Minangkabau, Banjar, Jawa, Mandailing, Boyan, Sunda, Madura dan sebagainya yang dibeza-bezakan di Indonesia.
MOMOK
Bagi kaum Cina, masing-masing kelompok dapat dibezakan menerusi bahasa ibunda Kantonis, Hokkien, Hakka, Teochew dan seumpamanya yang digunakan selain versi standard dinamakan Mandarin.
Orang Asli terdiri daripada pelbagai kelompok dengan identiti dan bahasa masing-masing. Begitu juga penduduk pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.
Dalam kalangan orang Melayu, cara pertuturan berbeza loghat mengikut lokasi seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Melaka dan Johor.
Bahasa Melayu yang digunakan di Indonesia dinamakan Bahasa Indonesia dan memang ada banyak perbezaan dengan Bahasa Malaysia. Sekadar contoh mudah ialah penggunaan perkataan ‘bisa’ dan ‘limau’ yang membawa makna berbeza.
Sewaktu ke Makassar dahulu, saya menghadapi masalah meminta tuala kerana tuan rumah hanya mengenali ‘anduk.’ Ramai juga rakan-rakan Melayu menghadapi masalah bahasa apabila ke Indonesia.
Alif Danya Munsyi @ Remy Sylado dalam buku Bahasa Menunjukkan Bangsa (2005) memberikan contoh kekeliruan bahasa mengikut wilayah di Indonesia. Kata ‘momok’ dalam bahasa Indonesia merujuk kepada sejenis hantu yang sering disebut untuk menakut-nakutkan orang.
Di Sulawesi Utara, etnik Sangir menggunakan ‘momok’ sebagai panggilan manja bagi anak perempuan. Bagi penduduk di Maluku Tenggara, kata itu bermakna ‘laut yang dalam dan indah.’ Bagi orang Sunda di Jawa Barat, kata ‘momok’ dianggap lucah kerana merujuk anggota tubuh wanita.
Maka, apabila kita menyebut ‘bahasa jiwa bangsa’ dan ‘bahasa menunjukkan bangsa’, pemahaman dan pengertian pasti berbeza-beza mengikut masing-masing kaum, etnik, keturunan dan bangsa.
Saya percaya daripada bahasa yang kita gunakan sama ada secara lisan atau bertulis, orang lain mampu mengenal latar belakang kita.
Dalam kajian antropologi sosial dan budaya, bahasa merupakan salah satu unsur budaya dan berfungsi sebagai alat komunikasi dalam masyarakat. Konsep ‘budaya’ itu sendiri berasal daripada kata buddhi dan buddhayah dalam Sanskrit.
Sebagai seorang pencinta bahasa, saya yakin dan percaya pada aspek kesantunan berbahasa. Penguasaan bahasa tidak lengkap tanpa kehadiran aspek kesantunan dalam berkomunikasi. Sesungguhnya perangai dan tabiat seseorang boleh dikesan daripada pertuturan mereka. Bahasa komunikasi yang sempurna menunjukkan individu itu beradab, berbudaya dan berpekerti mulia. Perangai dan bahasa menunjukkan darjat dan kedudukan seseorang.
Maka, peribahasa bahasa menunjukkan bangsa bukan merujuk kepada kaum seperti lazim difahami. Sebaliknya merujuk kepada darjat dan kedudukan individu. Cara kita berkomunikasi secara lisan atau bertulis menunjukkan kelakuan budaya, kedudukan sosial dan nilai budi dimiliki. Ia meliputi aspek pendidikan, kepintaran, kematangan dan kesantunan.
Ringkasnya, ‘bahasa jiwa bangsa’ merujuk kepada identiti kelompok etnik tetapi ‘bahasa menunjukkan bangsa’ sebenarnya merujuk cara kita diasuh menjadi manusia berbudi pekerti mulia. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










