Sistem tanaman padi tidak efisien

Sistem tanaman padi tidak efisien

MOHAMAD Sabu memandu jentanam selepas meninjau program SMART SBB di Kampung Lat 1,000, Simpang Empat, Arau, Perlis. – UTUSAN/HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kaedah penanaman pa­di konvensional yang tidak efi­sien menyebabkan Malaysia ke­rugian RM1.8 bilion setahun kerana mengimport satu juta tan beras bagi menampung keperluan tempatan.

Konsep ‘5P’ iaitu tanam, tinggal, tuai, telefon dan tawa­kal sekarang perlu diubah kepada penggunaan pertanian pintar.

Ini terbukti apabila kaedah Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Mini Sekinchan berjaya menghasilkan tujuh se­hingga 11 tan metrik padi per hektar semusim sekali gus me­ngatasi pengeluaran di nege­ri-negeri lain.

Ini adalah peningkatan ha­sil lebih 200 peratus berban­ding pengeluaran di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang merupakan Jelapang Padi negara dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) iaitu sekitar dua hingga lima tan metrik sahaja setiap hektar.

Jika petani di kawasan MADA dan KADA menggunakan kaedah seperti di Sekinchan Malaysia tidak lagi perlu mengimport beras, malah kemungkinan boleh jadi pengeksport.

Kaedah yang lebih berkesan itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada import tetapi mampu merealisasikan hasrat kerajaan meningkatkan pendapatan petani melalui eks­port hasil pertanian.

Menteri Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semalam berkata, tidak mustahil Malaysia boleh menjadi antara negara pengeksport beras pada masa depan sekiranya hasil padi yang diusahakan di ke­seluruhan kawasan tanaman seluruh negara itu mampu mencapai tujuh sehingga 11 tan metrik bagi setiap keluasan satu hektar.

Malah katanya, Malaysia juga mampu mencapai 100 peratus kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara jika penghasilan padi bagi setiap kawasan yang diusahakan mencapai tahap itu.

Menurut beliau, pada masa ini, negara terpaksa mengimport kira-kira 35 peratus lagi beras bagi menampung keperluan rakyat Malaysia.

“Kalau kita mampu capai penghasilan tujuh sehingga 11 tan metrik per hektar di kawasan MADA dan KADA antaranya, kita telah mencukupi keperluan beras negara. Kalau kita capai sasaran itu di MADA dan KADA, kita juga boleh menjadi pengeksport beras kelak,” tambahnya.

Justeru, Mohamad berharap inisiatif seperti program SMART SBB yang mampu me­ningkatkan hasil antara tujuh sehingga 11 tan metrik per hektar itu dapat diperluaskan lagi di seluruh negara dan mendapat kerjasama para pesawah.

“Ini kerana kalau kita lihat hasil di Sekinchan menerusi program SMART SBB itu mampu menghasilkan tujuh sehingga 11 tan metrik per hektar sedangkan di kawasan MADA) pula hanya sekitar lima tan metrik,” katanya.

SMART SBB mula diper­kenalkan pada awal tahun 2021 dan adalah salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan SSL beras negara.

Setakat ini, program tersebut telah dilaksanakan di kawasan seluas 11,000 hektar di seluruh negara melibatkan 4,000 pesawah dengan sasaran keseluruhan 240,000 pesawah terlibat dengan program SMART SBB itu.

Tambah Mohamad, sudah tiba masanya pesawah di negara ini bekerja sepenuh masa sebagai pe sawah dan menggunakan teknologi pertanian pintar.

“Kaedah itu bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga di samping dapat meningkatkan hasil tuaian padi, selain telah digunakan di negara lain seperti China,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood berkata, kebanyakan beras diimport dari Vietnam, Thailand, India, Pakistan, Kemboja dan Jepun.

Katanya, keperluan beras negara bagi menampung penduduk adalah sekitar 2.4 juta tan metrik setahun dengan anggaran seorang penduduk menggunakan sebanyak 79 kilogram makanan ruji tersebut dalam tempoh itu.

“Konsep pertanian pintar dengan penggunaan peralatan moden untuk meningkat kuantiti dan kualiti perlu dipertingkatkan berbanding terus guna kaedah konvesional dalam membantu meningkatkan hasil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×