Telemovie Bas Terakhir Malam Raya bocor, produksi rugi RM2.6 juta

Telemovie Bas Terakhir Malam Raya bocor, produksi rugi RM2.6 juta

PRODUKSI telemovie Bas Terakhir Malam Raya membuat laporan polis di IPD Brickfields susulan kebocoran karya tersebut di saluran Youtube sejak enam hari lalu.- UTUSAN/FITRI NIZAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Produksi telemovie Bas Terakhir Malam Raya mahu dalang utama yang memuat naik filem tersebut dalam laman sosial YouTube mendapat balasan setimpal atas tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan.

Mewakili produksi telemovie tersebut, pemain keyboard Floor 88, Eric atau nama sebenarnya Muhamed Eric Muhamed Fuzi berkata, pihaknya menanggung kerugian besar dengan tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan disebabkan karya itu masih ditayangkan di Astro First.

Katanya, telemovie berkenaan dikesan dimuat naik pada 4 Mei lalu dan hanya dipadamkan pada malam kelmarin dengan jumlah tontonan mencecah 168,000 penonton.

“Telemovie tersebut ditayangkan di Astro First mulai 21 April lalu dan dihentikan tayangannya berdasarkan jumlah kutipan diperoleh oleh pihak Astro. Namun tindakan individu yang memuat naik karya berkenaan di YouTube menjejaskan jumlah kutipan.

“Bayangkan untuk menonton telefilem itu di Astro First, penonton perlu membayar sekitar RM15 jika didarabkan dengan jumlah penonton yang melihat filem tersebut di Youtube, dianggarkan kerugian kami sebanyak RM2.6 juta,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.

Eric yang juga pengarah bersama telemovie itu berkata, pihaknya mahu siasatan terperinci dijalankan terhadap individu tidak bertanggungjawab tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia perbuatan ‘orang dalam’.

Jelasnya, berdasarkan pengamatan pihaknya di laman Youtube, telemovie yang dimuat naik itu bukanlah rakaman sebaliknya berkemungkinan hasil terakhir yang dihantar ke pihak Astro First sebelum ditayangkan.

“Kami mahu individu ini dikenal pasti kerana karya yang dimuat naik di Youtube tidak mempunyai watermark Astro First. Perkara itu menimbulkan tanda tanya bagaimana dia (dalang) boleh dapat hasil terakhir berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sepanjang telemovie tersebut ditayangkan, sudah beberapa kali pihaknya mengesan kebocoran karya itu yang dimuat naik di beberapa saluran lain termasuk TikTok dan Telegram namun ia kemudian dipadam selepas laporan dibuat.

“Ada beberapa video yang dimuat naik kemudian dipadam selepas dibuat laporan, cuma satu akaun (Youtube) ini saja ambil masa sehingga enam hari baru dipadamkan.

“Kami juga sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tegasnya, isu hak cipta bukan sesuatu perkara main-main kerana ia membabitkan hasil kerja banyak pihak dengan kos besar sehingga mencecah RM350,000 untuk menghasilkan telemovie berkenaan.

Telemovie Bas Terakhir Malam Raya adalah karya arahan Eric dan Irwan Rauf dengan kerjasama tiga produksi iaitu Silentkaiju Studio, Motiofixo Studio Sdn. Bhd. dan Floor88 Holdings.

Ia diterbitkan oleh Dian Mayasari Muhamed Fuzi dan Mohd. Idril Mihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×