CADANGAN kebelakangan ini untuk jutawan serta yang kaya raya Melayu di negara ini mengagihkan separuh daripada keuntungan dan laba kekayaan dan harta benda mereka kepada orang Melayu yang memerlukan merupakan satu penegasan bernas. Ia perlu diberi pertimbangan sewajarnya. Betapa tidak? Kalau bukan dari kelompok serumpun, dari mana lagi akan datang penyelesaian?
Di negara ini, begitulah rentak dan ragam yang dapat dikesan dengan nyata. Masing-masing dengan kabilahnya. Hal ini lumrah di mana sahaja dalam usaha untuk hidup rukun dan damai khususnya apabila di perantauan dan bahu membahu.
Jadi, mengapa tidak dilakukan di tanah air sendiri? Terutamanya apabila keadaan sosioekonomi tidak saksama dan tidak seadil setelah berdekad-dekad lamanya.
Dan kerajaan pula tidak lagi mampu membantu baik selepas merdeka sekalipun. Tiba-tiba terkenang kata-kata mutiara Allahyarham Aminuddin Baki, “Jangan dibiarkan ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air kehausan.” Amanah amat mendalam untuk hari muka yang masanya telah tiba.
Walaupun umumnya keadaan bertambah baik, serba sedikit ia masih dihantui oleh pelbagai dugaan, yang besar dan kecil, dan memerlukan penelitian secepat mungkin. Pembelaan nasib rakyat sudah menjadi sebati dalam diri. Namun, ada masalah tambahan yang menimpa. Kepuk sudah mulai susut disamun oleh penyamun kehormat yang rakus lagi tidak berhati perut.
Air pula sudah mula tercemar akibat pembangunan tidak tertib dalam mengaut untung sebanyak yang mampu. Antaranya akibat ketamakan menjadi jutawan segera dengan mencantas alam sekitar sesuka hati tanpa peduli. Kini tuduh-menuduh sesama sendiri untuk menutup pekung yang sudah mulai berbau. Malah agak terlewat untuk diperbetulkan kerana keadaan telah pun menempa pelbagai musibah yang dahulu tidak dirasai – pemanasan global utamanya.
IA BERSANGKUT DENGAN CABARAN
Meletakkan risalah keramat agar semua kejadian dipulihara sebagai saksama dalam fitrahnya. Tidak memilih bulu dan darjat keturunan, yakni keinsafan berbakti dengan jujur, bersimpati dan berkorban untuk membangunkan keadilan untuk semua bagi siapa sahaja.
Pengagihan harta kekayaan menjadi jalan keluar sebaik mungkin sepertimana adanya kewajipan bersedekah, berzakat, berinfak dan sebagainya atas nama mensyukuri apa diterima tanpa banyak perbandingan semata-mata untuk keegoan yang ingin menunjuk-nunjuk. Dan mendustakan keikhlasan seraya bertukar niat kepada yang tidak lagi memberkati. Hatta kesannya tidak beberapa. Yang miskin terus merana hidupnya. Yang terkaya terus durjana sikapnya.
Kitaran inilah yang dirasai selama ini hingga terjerumus dalam satu kancah skandal paling memalukan, belum pernah dirasai dalam mengaut kekayaan tanpa had nafsu yang bermaharajalela. Yang papa kedana terus kecewa berputus asa. Ramai pula tumpas, derita rasa, menyayat jiwa duka nestapa! Jadi, teguran Perdana Menteri tiba pada masa tatkala kemelut meratah bangsa mentah-mentah di pentas antarabangsa. Bahkan sudah kedengaran pun sindiran kata, “Padan muka.”
Dahulu lupa daratan. Ramai yang terpalit. Maka ada yang berasa tidak berpuas hati, mengapa kerangka perkauman dijadikan utama untuk mencerca? Bukan sahaja yang kaya dalam kalangan mereka hanya beberapa kerat berbanding bilangan Melayu yang melaut ramai menderita. Apatah lagi semangat yang hendak dibawa berasaskan perhitungan tanpa ras dan pemikiran lebih terbuka, tidak sempit.
Ekoran itu, ia membawa persoalan lebih mencabar tentang apa pula peranan para jutawan serta kaya raya warga Malaysia yang lain terhadap kemiskinan orang Melayu terbanyak? Mereka lebih ramai lagi bilangannya seperti dalam senarai majalah Forbes, misalnya. Ataupun adakah mereka ini terkecuali atau dikecualikan untuk menyelesaikan isu suku kaum mereka sahaja sebagaimana cadangan untuk bangsa Melayu?
MENGEMIS
Kalau itulah pilihannya sekali gus isu perkauman membaur semula dan tidak menampakkan kesepaduan sebagai penyelesaian sepertimana sering dicanangkan. Yakni para jutawan mengagihkan kekayaan mereka (tanpa paksaan) demi membela warganegara yang daif dan marhaen. Tiada soal ras, kaum, kelompok dan sebagainya.
Dalam kerangka Malaysia tulen, soal bangsa dan budaya dianggap tidak lagi penting bagi memahami kedudukan sesama sendiri. Sayugia diingatkan, ada dalam kalangan jutawan sekarang pernah ‘mengemis’ simpati pada suatu ketika dahulu dan ada yang mendapat lonjakan tertentu dari luar kelompok mereka sehingga menjadi hartawan.
Sewajarnya oleh itu mereka tidak bodoh sombong dalam membantu dan tidak perlu disasarkan kepada kelompok tertentu mengikut warna kulit dan kefahaman itu dan ini. Dengan cara ini, ia lebih mudah dapat menyama-rata habuan dan peluang memandangkan kedudukan kelompok jutawan terbanyak mempunyai bilangan yang memerlukan paling sedikit dalam kelompok berkenaan, dan sebaliknya.
Tidak dapat tidak, perpaduan akan berpecah jika sikap tidak saling membantu dengan ikhlas tidak terlaksana dengan bijak. Rasa pengasingan kaum akan mula menebal dan timbul rasa saling mengesyaki antara satu sama lain.
Oleh demikian, perpaduan tidak kelangsungan sekadar cakap politik yang dendam tidak berkesudahan. Baik muda atau tua bangka. Yang terus sengsara, rakyat jelata jua. Ini igauan perdana! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











