Kenaikan OPR demi kawal aliran wang dalam ekonomi

Kenaikan OPR demi kawal aliran wang dalam ekonomi

ANWAR Ibrahim diiringi Rafizi Ramli melihat mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Ekonomi di Menara Prisma, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu instrumen mengawal aliran wang dalam ekonomi supaya boleh mengurangkan permintaan terhadap barang dan perkhidmatan.

Beliau berkata, walaupun kenaikan OPR itu dalam tempoh masa pendek dan dianggap membebankan rakyat, tetapi negara perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi dunia yang kembali pulih iaitu seperti situasi sebelum pandemik Covid-19.

Pada masa sama, kata beliau, kenaikan OPR mampu mengukuhkan mata wang negara daripada makin lemah.

“Kalau kita tidak sesuaikan kadar OPR kita dengan sasaran dunia, itu akan bawa kesan lain, seperti risiko dana keluar yang akhirnya melemahkan mata wang dan mengurangkan pelaburan.

“Saya faham OPR ada kesan kepada tanggungan rakyat, tetapi kena lihat secara keseluruhan, ada juga kesan tidak langsung tindakan BNM naikkan OPR adalah untuk mengukuhkan mata wang dari makin lemah.

“Kedudukan mata wang kukuh membantu supaya import kita lebih rendah dan membantu mengekang kenaikan harga barang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kementerian Ekonomi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, semalam.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengumumkan kadar OPR meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus sekali gus menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkatkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Ini menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik Covid-19 iaitu pada 7 Mei 2019.

Rafizi berkata, kerajaan tidak boleh terlalu campur tangan dalam menentukan kadar OPR dan ia secara tidak langsung memaksa kerajaan membuat perbelanjaan lebih baik kerana kos berhutang akan lebih tinggi.

“Namun, sudah tentu BNM bekerjasama dengan kerajaan supaya dapat kawal inflasi dan kurangkan tekanan kepada BNM untuk naikan OPR pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×