PETALING JAYA: Kualiti para pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ketika ini dipertikai kerana didakwa tidak dinilai berdasarkan kebolehan akademik sebaliknya menerusi ujian kognitif dan kecerdasan minda sahaja.
Ini kerana mereka tidak diuji menerusi sistem peperiksaan utama yang boleh dipercayai seperti Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) untuk ke tingkatan satu dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk ke tingkatan empat.
Kemasukan untuk sekolah khusus itu kini hanya mengguna pakai Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) manakala kemasukan ke MRSM pula melalui Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).
Malah, keputusan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pelajar juga dilihat tidak tulen untuk mengukur prestasi akademik seseorang pelajar.
Sebabnya, ia hanya dinilai di peringkat sekolah yang markah dan tahap pencapaiannya boleh diubah suai berdasarkan kehendak dan reputasi sekolah semata-mata.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon mendakwa, perkara itu berdasarkan keluhan rakan-rakan guru di sekolah berasrama yang menyatakan bahawa kualiti kemasukan murid kurang berbanding dahulu.
Beliau mendakwa, kebergantungan sepenuhnya kepada ujian kemasukan itu dilihat menyukarkan tahap pengukuran pengetahuan murid sehingga menyebabkan guru terpaksa berusaha lebih dalam melahirkan pelajar cemerlang.
“Sekarang ini 100 peratus kepada ujian kemasukan itu, jadi mereka akan buat betul-betul ujian itu…sampai ada kelas tambahan. Tetapi, apabila lulus, mereka sebenarnya tidak berkualiti pun.
“Di asrama penuh sekarang, memang ramai rakan guru yang bising tentang kualiti murid, ada murid fokus ujian kemasukan itu dan dapat, tetapi masuk asrama penuh…siksa guru,” dakwanya ketika dihubungi, semalam.
Kerajaan sebelum ini memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021 dan memperkasa secara menyeluruh PBD dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA( mula diperkenalkan pada sesi persekolahan 2022/2023 bagi memperkukuhkan PBD bagi tahun 4 hingga tahun 6 untuk sekolah rendah, manakala tingkatan 1 hingga tingkatan 3 untuk sekolah menengah.
Sebagai rekod, PKS mula diguna pakai sejak 2020 untuk kemasukan ke sekolah khusus, namun keputusan UASA dalam pentaksiran sumatif tidak dijadikan penilaian sama.
Sekolah khusus merujuk kepada SBP, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
Mengulas lanjut, Fouzi berpandangan, kemasukan yang diukur berasaskan ujian kemasukan itu tidak menunjukkan konsistensi murid untuk memperoleh kecemerlangan dalam pelajaran.
Justeru, katanya, keputusan UASA yang dilaksanakan kepada murid tahun 4 hingga tahun 6 untuk sekolah rendah sepatutnya diambil kira sama dalam menilai kemasukan murid ke sekolah berasrama.
“Upsr diuji anak sekolah rendah dan permohonan ke asrama penuh, sekarang ini pentaksiran tahun 4, 5 dan 6 ada, maka ia boleh menunjukkan ketekalan mereka dalam pelajaran. Mengapa tidak dijadikan kaedah untuk kemasukan ke asrama penuh?
“Kalau kementerian guna itu…mungkin dibahagikan peratusan tertentu, jadi setiap tahun penjaga akan berjaga-jaga dan murid akan belajar, maka boleh nampak daya usaha semakin meningkat
“Kalau tidak sekarang ini murid santai sahaja, anak-anak tidak ambil endah…tahun 4, 5 pun masih lagi boleh main telefon pintar,” ujarnya.
Senada dengan beliau, seorang pengetua SBP yang enggan dikenali berkata, ujian PKSK lebih cenderung dalam menguji kesesuaian seseorang murid itu untuk tinggal di asrama dan bukannya berorientasikan akademik.
Katanya, perkara itu dilihat akan memberi kesan dalam tempoh jangka masa panjang nanti kerana tahap murid itu tidak sama berbanding sebelum ini.
“Soalannya misalnya ‘ibu kamu telah selesai memasak nasi dalam keadaan kelam kabut, apa perlu anda buat? Rakan anda menangis, apa perlu buat?’.
“Jadi, soalan lebih kepada emosi apa patut budak buat, sedangkan kalau UPSR dulu selaraskan kualiti murid. Ini tidak, tamat tingkatan tiga dan masuk tingkatan empat, tidak boleh bawa subjek sains seperti fizik atau kimia.
“Apabila pelajar itu tidak berkualiti, guru-guru sekolah asrama penuh yang teruk untuk rekod sekolah yang baik. Bukan di sekolah saya sahaja, tetapi dua tiga sekolah juga mengeluh,” ujarnya.
Beliau menambah, PBD sememangnya cantik dari segi teori, tetapi pelaksanaanya cuma atas kertas sahaja kerana tidak memerlukan bukti.
“Sejujurnya, kalau pelajar dari Kuala Lumpur, mereka yang mendapat band empat atau lima jauh lebih daripada pelajar dari Kelantan dan Terengganu yang mendapat band lima atau enam.
“Kementerian akan menafikan, tetapi kami di lapangan tahu apa berlaku. UPSR lebih selaras dan penyediaan jangka panjang murid menghadapi ujian itu lebih baik berbanding sekolah menyediakan murid untuk PBD,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ujian kemasukan itu dilihat tidak menimbulkan sebarang masalah asalkan ia dilakukan secara telus.
Katanya, pelaksanaan yang telus, sistematik dan boleh dipercayai itu penting untuk tidak menimbulkan apa-apa isu berhubung kemasukan pelajar.
“Setakat ini, alhamdulillah saya rasa proses berjalan dengan baik. Pada masa sama, kita kena mula melihat kemasukan ke asrama penuh bukan satunya jalan untuk mencapai kecemerlangan.
“Jika tahun 80-an atau 90-an dulu, orang menganggap asrama penuh sebagai kejayaan apabila dapat masuk, tetapi kalau mahu pastikan pendidikan berkualiti, semua sekolah patut ada kualiti sama dengan asrama penuh.
“Oleh itu, kita mengharapkan Kementerian Pendidikan jadikan asrama penuh sebagai piawaian kepada sekolah lain, misalnya kemudahan yang ada dan kualiti guru-guru mesti setara,” jelasnya. – UTUSAN










