Penubuhan majlis bukan jaminan kebebasan media - Utusan Malaysia

Penubuhan majlis bukan jaminan kebebasan media

Cadangan menubuhkan majlis media adakah untuk menjadikan media di negara ini lebih bebas atau sekadar mahu mengukuhkan cengkaman dan kawalan ke atas pengamal-pengamal media di negara ini. – Mingguan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang teruja apabila Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) menunjukkan Malaysia naik 40 anak tangga dari kedudukan 113 kepada 73.
Maka ramailah yang tampil dengan bermacam-macam cadangan dan idea dalam usaha mempertahankan kedudukan itu atau menjadikan media di negara ini lebih bebas.
Yang menariknya, semua cadangan itu datang daripada bukan pengamal media. Mereka yang memberi cadangan itu majoritinya bukan daripada orang yang saban hari terlibat secara langsung bergelumang dalam mencari berita atau menerbitkan akhbar.
Serentak dengan indeks kebebasan media yang meletakkan Malaysia di tangga tertinggi berbanding negara-negara ASEAN lain, maka ramai pula yang mencadangkan supaya direalisasikan segera penubuhan majlis media.
Bagi kalangan pengamal media yang asli, definisi majlis media dan peranannya masih boleh dianggap samar-samar, masih ambiguiti. Mungkin ada udang di sebalik batu dengan cadangan penubuhan ini atau untuk mengukuhkan lagi cengkaman kumpulan tertentu terhadap organisasi media.
Sedangkan pada ketika ini kedudukan negara kita dalam indeks kebebasan akhbar jauh lebih tinggi daripada negara yang mempunyai majlis media atau seumpamanya.
Kalau hendak dikatakan penubuhannya bertujuan memastikan wartawan tahu landasan kewartawanan sebenar dan profesional, ia sudah pun diajar di universiti yang mana tenaga pengajarnya terdiri daripada pakar dan para profesor.
Jika alasannya untuk membezakan antara pengamal sosial media dengan wartawan yang sebenar, peranan ini sudah dimainkan oleh Jabatan Penerangan. Sebab, setiap wartawan pada pas media berlainan warna.
Hijau untuk pengamal media yang mewakili agensi kerajaan, biru untuk swasta, kelabu untuk wartawan yang mewakili media online dan merah bagi mereka yang bertugas dengan agensi berita antarabangsa.
Bukankah ini satu cara yang berkesan untuk mengiktiraf kewujudan wartawan termasuk memperincikan dengan siapa mereka berkhidmat? Tanpa pas penerangan ini mereka bukan wartawan.
Malah kementerian dan agensi kerajaan dalam setiap surat jemputan untuk membuat liputan majlis mereka meletakkan syarat supaya wartawan yang dihantar membuat liputan mestilah memiliki kad media yang sah dan belum tamat tempoh.
Satu lagi kalau kita perasan daripada senarai indeks kebebasan media itu ialah, negara-negara yang mempunyai majlis media yang kita mahu jadikan contoh seperti Indonesia dan Filipina, kedudukan mereka jauh lebih tercorot daripada kita.
Dunia mengiktiraf bahawa dengan sistem yang diamalkan sekarang media di negara kita jauh lebih bebas daripada negara jiran. Jadi kenapa kita mahu menjadikan negara yang di kedudukan lebih rendah sebagai rujukan?
Yang paling hampir dengan kita adalah Thailand di kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).
Sepatutnya mereka ini yang mencontohi kita, bukannya kita ikut mereka kerana itu boleh dianggap sebagai langkah ke belakang.
Lagi pula, apakah jaminan melalui penubuhan sebuah majlis, media-media di negara kita lebih bebas dan tidak di kongkong? Bukankah apabila ada badan yang mengawal selia akan menjadikan sesuatu entiti itu tidak bebas?  Andai kata Indonesia yang kita mahu jadi contoh, tahukah kita bagaimana majlis medianya dibentuk?
Indonesia tidak dinamakan majlis, tetapi Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) yang wujud sejak 1946 iaitu pada 9 Februari. Tarikh itu juga diangkat sebagai tarikh sambutan hari wartawan di negara itu yang dikenali Hari Pers Nasional (HPN). Di Malaysia, kita cuba mencontohinya dengan menganjurkan Hari Wartawan Nasional (Hawana).
Di Indonesia, penubuhan PWI dan penganjuran HPN adalah inisiatif organisasi media 100 peratus. Tidak ada campur tangan kerajaan. Termasuk kos dan perbelanjaan. HPN dianjurkan secara bergilir oleh syarikat media tanpa ada campur tangan kerajaan.
Kita di Malaysia berbeza. Penganjuran Hawana misalnya, membabitkan dana daripada kerajaan. Begitu juga dengan cadangan penubuhan majlis media. Ia dibincangkan di peringkat kerajaan. Apabila ada campur tangan dan sentuhan kerajaan maka kita khuatir akan keabsahan kebebasannya. Lebih baik kekal kepada kaedah pemantauan oleh Jabatan Penerangan sekarang.
Kalau benar-benar ikhlas mahu mengangkat kebebasan media supaya setaraf dengan apa yang diamalkan di barat, maka lebih elok kita tiru apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) iaitu dengan meminda perlembagaannya melalui apa yang dikenali sebagai First Amendment.
Tidak perlu diwujudkan apa-apa majlis untuk mengongkong media, terutama ketika zaman sukar sekarang ini.
Ramai tidak tahu untuk menjual senaskhah akhbar di Malaysia terpaksa melalui pelbagai rintangan. Antaranya kena patuh dengan Akta Rahsia Rasmi, kemudian ada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 serta turut tertakluk di bawah Kanun Keseksaan selain akta yang berkaitan dengan fitnah dan sebagainya.
Itu belum diambil kira halangan-halangan lain seperti larangan melanggan akhbar oleh sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya.
Ironinya, ramai lebih suka bercakap dan membincangkan mengenai hal untuk mengawal pengamal media ketika organisasi-organisasinya pula berhadapan dengan isu berkaitan survival.
Pakar-pakar atau tokoh yang menyokong penubuhan majlis media ini hanya melihat secara retorik tanpa berlandaskan kepada keadaan sebenar.
Cadangan supaya kerajaan mengenakan cukai kepada syarikat-syarikat teknologi yang mengautkan keuntungan daripada kandungan-kandungan yang dihasilkan oleh media tempatan tidak pula diangkat secara serius.
Jika kerajaan serius mahu memastikan survival industri media di negara ini, cadangan mengenakan cukai kepada syarikat teknologi gergasi dunia seperti Facebook dan Google perlu dipandang serius.
Tidak guna diwujudkan majlis media tetapi akhirnya industri media terkubur satu persatu.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×