PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu memberi kuasa autonomi kepada pentadbir sekolah untuk melaksanakan aktiviti di luar bilik darjah mengikut keadaan dan perkembangan cuaca semasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, ini akan membolehkan pihak sekolah menentukan sendiri mengikut keadaan cuaca di kawasan masing-masing.
“Bagaimanapun, pihak pentadbir sekolah perlu sentiasa peka dengan arahan semasa Kementerian Pendidikan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, media melaporkan, sekolah-sekolah di seluruh negara dilarang mengadakan aktiviti di luar bilik darjah susulan cuaca panas di hampir semua negeri.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor berkata, pekeliling berhubung perkara itu berkuat kuasa pada Rabu lalu mesti dipatuhi semua guru besar dan pengetua di seluruh negara dengan keputusan larangan itu melibatkan semua kegiatan luar termasuk sukan, perkhemahan dan merentas desa.
Susulan larangan itu, ia dikatakan boleh membantutkan pencarian bakat sukan yang melibatkan pelbagai peringkat.
Mengulas lanjut, Jasni berkata, dakwaan bahawa larangan itu menyekat potensi pelajar dalam sukan tidak sepatutnya ditimbulkan kerana aktiviti pembangunan sekolah di peringkat sekolah, daerah dan negeri dilaksanakan sepanjang tahun.
Justeru, katanya, potensi sukan pelajar sentiasa dibangunkan melalui program pembangunan sukan yang dirancang mengikut jadual dan boleh diubah suai mengikut situasi semasa negara.
“Namun, terima kasih dan tahniah kepada Kementerian Pendidikan yang sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan semua peringkat kepimpinan pendidikan kementerian terutamanya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pengetua serta Guru Besar,” katanya.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, kelonggaran itu boleh diberikan dengan syarat aspek keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan.
Namun, katanya, buat masa ini, ia bukan satu keperluan kerana guru boleh memanfaatkan pembelajaran dalam kelas.
“Adapun untuk aktiviti kokurikulum atau sukan boleh dijalankan di kawasan bangunan tertutup.
“Larangan ini tidak membantutkan pencarian bakat sukan kerana kita masih boleh menilai potensi murid,” katanya. – UTUSAN










