PADA waktu pandemik ini, pelbagai isu mewarnai negara kita walaupun masyarakat masih terkurung di rumah dengan batasan aktiviti fizikal.
Pergerakan kita disekat dan dibataskan. Manusia menjadi gelisah, gusar dan ada yang tertekan dengan kehidupan norma baharu. Dalam situasi ini, kerajaan yang bertanggungjawab akan melaksanakan fungsinya iaitu memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat.
Tugas kerajaan memenuhi dua hal. Pertama, menjaga kepentingan awam. Kedua, memastikan rakyatnya hidup dengan beradab. Beradab di sini bermaksud melahirkan warganegara sempurna yang mempunyai moral dan etika yang baik. Sudah tentu, tujuan akhirnya adalah bagi melimpahkan kebahagiaan kepada seluruh rakyat.
Dalam hal ini, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat menerima pelbagai reaksi daripada rakyat. Ada yang bersetuju, ada yang tidak. Walaupun, PKP dan darurat dibenarkan di bawah perundangan dan Perlembagaan tetapi persoalan yang harus difikirkan, sejauh mana kerajaan boleh menggunakan kuasa yang ada dalam menyekat kebebasan hak asasi manusia? Hak untuk bergerak bebas dan hak untuk bekerja misalnya, terjejas semasa pandemik. Adakah sekatan ini adil? Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam falsafah politik, acap kali keadilan juga bermaksud tidak ada kezaliman kerajaan kepada rakyat.
BERUBAH
Peranan kerajaan dan rakyat perlu diletakkan di tempat yang betul supaya adanya suatu keharmonian bagi memenuhi tujuan kita berkerajaan. Suasana pandemik sekarang ialah suatu keadaan krisis dan luar biasa. Ia bukanlah suasana biasa dan normal. Jika dalam suasana normal, menyekat kebebasan manusia adalah sesuatu yang tidak adil tetapi bagaimana jika keadaan krisis dan luar biasa seperti pandemik Covid-19?
Sudah tentu, tindakan kerajaan dan rakyat itu sendiri turut berubah. Perlindungan dan pematuhan hak asasi manusia dan kebebasan juga berubah dalam keadaan dan suasana berbeza. Kebebasan bukanlah bermakna kebebasan mutlak sehingga boleh menyakiti orang lain. Kebebasan hadir dengan tugas dan tanggungjawabnya sendiri.
Keadilan juga bermaksud memberikan hak asasi tertentu supaya tidak berlaku kezaliman dan tyranny (tirani) kerajaan terhadap rakyat. Kezaliman bukan hanya berpunca daripada kerajaan tetapi individu juga boleh menzalimi diri sendiri. Ini yang ditegaskan dalam Islam bahawa Tuhan memberikan petunjuk melalui al-Quran (tanzil) bagi manusia supaya manusia tidak menzalimi dirinya sendiri.
Allah berfirman dalam surah al-A’raf Ayat 23: “Mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Kami telah menzalimi diri kami, dan jikalau tiada Kau ampuni, dan cucuri rahmat-Mu kepada kami, justeru sesungguhnya kami ini akan tergolong dengan yang rugi.”
Sekatan oleh kerajaan adalah untuk mengelakkan rakyat menjerumuskan diri terhadap jangkitan Covid-19 yang semakin mengganas sehingga memudarat dan memusnahkan diri.
SEJAGAT
Kita tentu terfikir, hak asasi manusia yang sifatnya sejagat, wujud secara alami ini tidak sepatutnya dibataskan kerana manusia itu ada autonominya sendiri. Menyekat hak asasi yang sejagat dan diiktiraf adalah suatu bentuk kezaliman. Benarkah fahaman itu? Sememangnya komuniti dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua, peristiwa pembantaian orang Yahudi (holocaust) dan regim zalim aparteid di Afrika Selatan merasakan perlunya digubal suatu prinsip hak asasi manusia yang sejagat supaya peristiwa hodoh dan tragik itu tidak berulang.
Maka komuniti dunia mendatangkan suatu deklarasi sejagat perihal hak asasi manusia yang mesti dipatuhi oleh kerajaan. Dokumen ini ialah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB.
Namun demikian, Artikel 29(2) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB menyatakan, “dalam pelaksanaan hak dan kebebasannya, setiap orang hanya tunduk pada batasan-batasan yang ditentukan oleh undang-undang, semata-mata untuk menjamin pengakuan dan penghormatan terhadap hak dan kebebasan orang lain, dan memenuhi syarat-syarat moral, keselamatan awam dan kesejahteraan umum yang adil dalam masyarakat yang demokratik.”
Jelas sekali, bagi mengolah persetujuan semua kerajaan, maka Artikel 29(2) ibarat kenyataan catch-all yang mengiktiraf kedaulatan sesebuah negara sebagaimana hak asasi sejagat ini perlu diadun, dilaksana dan dilindungi menurut tradisi, adat dan budaya sesebuah negara. Hak asasi manusia walaupun bersifat sejagat tetapi pematuhannya bersifat kontekstual berdasarkan kepada budaya dan agama sesebuah negara.
Artikel 29(2) cuba dipadamkan oleh pejuang hak asasi manusia dengan hanya menumpukan kepada hak asasi sejagat tetapi tidak pula mengutarakan hakikat bahawa dokumen sama memberikan keseimbangan antara tugas kerajaan dan pelindungan hak-hak asasi manusia atas dasar menjaga kepentingan awam dan memastikan rakyatnya sentiasa hidup dalam kompas moral yang betul.
Artikel 29(2) membuktikan kebebasan mutlak adalah sesuatu yang utopia. Kebebasan hadir dengan tugas dan tanggungjawab. Maka kerajaan wujud bagi memastikan keadilan kepada semua dapat dilaksanakan.
Sesungguhnya, pandemik ini membuka mata kita untuk memahami konsep hak asasi manusia dengan betul dan benar. Dakyah-dakyah kebebasan dan kesaksamaan yang terpesong boleh memusnahkan negara sekali gus memudaratkan majoriti rakyat yang lain.
PENULIS ialah Pengerusi Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Peace).










