KUALA SELANGOR: Kementerian Pendidikan tidak bercadang wujudkan semula jawatan guru sandaran bagi menampung isu kekurangan guru di seluruh negara sebaliknya menawarkan pengambilan secara one-off yang mula dibuka bulan lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebanyak 260,00 permohonan diterima Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) setakat ini, namun hanya 19,000 kekosongan bagi mengisi jawatan itu.
“Mereka yang memohon itu diharap memenuhi kriteria ditetapkan kerana pengambilan dan penempatan guru dibuat secara one-off.
“Kita setakat ini tiada bercadang mewujudkan semula guru sandaran,” katanya ketika ditemui selepas program Ziarah Selamat Hari Raya Cikgu di Tanjong Karang semalam.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sebelum ini memohon KPM menawarkan semula jawatan guru sandaran bagi menampung isu kekurangan guru termasuk di Sabah dan Sarawak.
Berdasarkan kajian kesatuan itu, faktor kekurangan guru antaranya berpunca pertambahan sekolah baharu, murid dan kelas selain persaraan awal serta wajib termasuk faktor kesihatan guru.
Jelas Fadhlina, lebih 8,000 guru baharu diambil bagi pengambilan pertama pada Februari lalu.
“KPM juga membuka peluang kepada siswazah universiti awam tanpa ikhtisas pendidikan untuk memohon menjadi guru. Saya lihat ramai yang mahu menjadi guru dan ia perkembangan positif terutama dalam menangani isu pengangguran selepas tamat pengajian,” ujarnya.
Sementara itu di Putrajaya, Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan, data unjuran keperluan guru disemak sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan ia sentiasa dikemas kini berdasarkan keperluan sebenar di sekolah.
Memaklumkan kepada Utusan Malaysia, kenyataan itu berkata, langkah itu juga dibuat melalui penubuhan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru (JPPG) bersama bahagian lain di kementerian berkenaan.
Jelas KPM, ini antara lain demi memastikan isu-isu keperluan guru dapat dibincangkan dan ditangani dengan komprehensif.
Dalam masa sama, unjuran keperluan guru juga disediakan dengan menggunakan kaedah kuantitatif berasaskan kepada Projection and Simulation Models yang mana kaedah ini adalah bersesuaian dengan senario pendidikan di Malaysia.
“JPPG KPM digerakkan bagi menangani isu kekurangan atau lebihan guru selain memastikan bekalan guru adalah mencukupi dan memenuhi keperluan sebenar guru di sekolah KPM,” katanya.
“Sehubungan itu, cadangan pengambilan guru baharu seramai 19,431 orang dilaksanakan adalah untuk mengisi kekosongan perjawatan guru berdasarkan keperluan di sekolah KPM pada tahun ini,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta KPM membuat ketetapan mengenai jumlah guru yang diperlukan dalam sistem pendidikan negara bagi mengelakkan pengambilan secara tergesa-gesa termasuk mengambil guru bukan daripada disiplin pendidikan.
Dalam hal itu, KPM berkata, pengambilan guru baharu dilaksanakan pada setiap tahun oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan berdasarkan keperluan semasa di sekolah KPM.
Katanya, pengambilan guru baharu adalah berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di sekolah.
Menurut KPM, hanya graduan yang terbaik sahaja akan terpilih berdasarkan merit, prestasi temu duga dan keperluan opsyen mata pelajaran.
“Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dalam Hebahan Permohonan Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Tahun 2023 pada 7 April lalu, pengambilan PPP kali ini terbuka kepada graduan pendidikan untuk lantikan tetap dan graduan bukan pendidikan pula untuk lantikan secara kontrak,” katanya.
Mengulas lanjut, KPM berkata, pihaknya sentiasa memastikan keperluan guru di sekolah KPM adalah mencukupi dan pengambilan guru baharu dirancang untuk lima tahun ke hadapan dengan mengambil kira pelbagai faktor. – UTUSAN










