PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) supaya kadar faedah di Malaysia tidak jauh berbeza dengan Amerika Syarikat (AS) yang telah naik dari 4.75 peratus ke 5.00 peratus baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perbezaan yang terlalu jauh boleh menyebabkan pelabur menarik pelaburan mereka di Malaysia dan pergi ke AS kerana kadar faedah yang lebih menarik.
“Saya melihat keputusan ini bukan disebabkan mahu menurunkan inflasi semata-mata kerana inflasi sudah turun dari 3.7 peratus ke 3.4 peratus pada bulan Mac, tetapi lebih kepada tidak mahu perbezaan kadar faedah di Malaysia,’’ katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman bagaimanapun tidak melihat kenaikan itu pada tahap membimbangkan, sebaliknya ia kembali seperti kadar sebelum pandemik iaitu tiga peratus pada November 2019.
Beliau menambah, BNM juga mengambil kira situasi ekonomi yang masih kukuh dan mampu berdepan dengan kadar OPR yang lebih tinggi.
Malah, katanya, negara juga pernah mengalami kadar yang lebih tinggi pada 3.5 peratus antara 2006 hingga 2008.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan OPR itu bermakna peminjam dengan bank terpaksa menanggung kenaikan sebanyak 1.25 peratus dalam tempoh setahun ini menyebabkan peminjam mengalami peningkatan dalam bayaran bulanan pinjaman jika pinjaman mereka adalah pinjaman kadar berubah.
“Sebagai contoh, jika pembeli rumah membuat pinjaman perumahan sebanyak RM300,000 untuk 30 tahun dan kadar faedahnya adalah enam peratus, jika ia bertambah 1.25 peratus lagi, ini akan menyebabkan bayaran bulanannya bertambah hampir RM250 sebulan,” katanya. – UTUSAN










