PETALING JAYA: BAT Malaysia merekodkan keuntungan operasi lebih rendah berjumlah RM407 juta pada tahun lalu daripada RM411 juta tahun kewangan sebelumnya (TK2021).
Bagaimanapun, syarikat mencatatkan pendapatan yang lebih stabil berjumlah RM2.6 bilion, dengan keuntungan kasar sebanyak RM678 juta, peningkatan 0.5 peratus daripada RM675 juta pada 2021.
Menurut BAT Malaysia, Kumpulan menyaksikan penurunan dalam bahagian pasaran keseluruhan sebanyak 0.8 peratus berbanding TK2021 disebabkan penyahsenaraian jenama Kent dan Pall Mall.
“Jumlah tahunan turun sedikit sebanyak 2 peratus berbanding TK2021 di mana faedah sekali sahaja dalam volum diperhatikan semasa laluan-peralihan model ke pasaran.
“Jenama nilai untuk wang (VFM) Kumpulan, KYO dan Rothmans, memperoleh tambahan 1 peratus bahagian pasaran.
“Walaupun penyusutan bahagian keseluruhan industri bagi segmen premium sebanyak 1 peratus pada tahun tersebut, jenama Dunhill Kumpulan memperoleh pertumbuhan 1.1 peratus, menunjukkan kedudukan kukuh jenama premium itu,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, walaupun operasi persekitaran yang mencabar, BAT Malaysia merekodkan prestasi yang mantap untuk tahun lalu.
Katanya, walaupun hasil tidak berubah, keuntungan kasar meningkat sedikit dan aliran tunai operasi bersih untuk tahun dilaporkan meningkat dengan siginifikan.
“Dalam jangka sederhana, kami yakin keadaan ekonomi akan bertambah baik, kerajaan akan memperkenalkan peraturan seimbang mengenai vape dan mempercepatkan campur tangan untuk mengurangkan lagi pasaran gelap tembakau.
“Kami juga akan fokus pada pelaburan dalam jenama Value-for-Money (VFM) kami, dan mengekalkan kepimpinan dalam segmen premium,” katanya. – UTUSAN









