Sabar menunggu vaksin tiba - Utusan Malaysia

Sabar menunggu vaksin tiba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA hujung bulan lalu lebih 100,000 rakyat Singapura telah disuntik dengan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech. Perdana Menteri Mereka, Lee Hsien Loong sudah melengkapi suntikan apabila menerima dos kedua pada 29 Januari lalu.
Satu lagi negara jiran, iaitu Indonesia juga sama. Presiden Joko Widodo menjadi antara pemimpin dunia pertama menerima suntikan vaksin itu, iaitu pada pertengahan Januari lalu dan negaranya juga sudah mula melaksanakan program imunisasi Covid-19.
Indonesia adalah negara dengan catatan kes Covid-19 tertinggi di Asia Tenggara iaitu lebih satu juta jangkitan dengan angka kematian lebih 30,000.
Dalam usaha membendung penularan pandemik itu, Indonesia mengimport vaksin Covid-19 Sinovac secara besar-besaran. Pada 6 Disember tahun lalu mereka sudah menerima enam juta dos vaksin Sinovac.
Secara keseluruhannya mereka sudah memesan 50 juta dos vaksin Sinovac dan 60 juta lagi dari Sinopharm juga syarikat dari China.
Perkembangan di dua negara jiran itu kelihatan dicemburui oleh rakyat Malaysia. Melihat Perdana Menteri Singapura dan Presiden Indonesia sudah pun disuntik dengan vaksin itu menimbulkan rasa iri. Pelbagai pertanyaan timbul bila penawar kepada pandemik itu akan tiba di bumi Malaysia.
Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech akan tiba pada 26 Februari ini, namun penantiannya terasa lama. Seolah-olah negara lain sudah merasai nikmat kebebasan merdeka daripada pandemik itu, sedangkan Malaysia masih lagi tertunggu ketibaan penawarnya.
Ramai yang menyalahkan kerajaan seperti dakwaan lambat bertindak dan tidak cekap menguruskan perolehan vaksin tersebut. Tetapi realitinya kerajaan sudah bertindak sewajarnya bagi memastikan rakyat Malaysia berada dalam kelompok yang terawal di dunia menerima vaksin tersebut.
Penantian rakyat terhadap ketibaan vaksin tersebut tentunya terasa lebih lama apabila terpaksa mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 18 Februari ini. Pergerakan rentas negeri juga masih tidak dibenarkan. Ini menyebabkan rakyat semakin resah ekoran kehidupan harian terjejas.
Sejak daripada pelaksanaan PKP pertama pada Mac tahun lalu, Covid-19 telah membawa banyak mudarat kepada rakyat.
Selain jumlah kes positif yang sudah melebihi 230,000 kes dengan lebih 840 kematian, pandemik ini telah melumpuhkan hidup rakyat Malaysia. Tidak ada sektor yang terlepas daripada ancamannya. Sektor ekonomi lumpuh, sekolah dan universiti tidak boleh dibuka, hotel ditutup, aktiviti sukan tidak dibenarkan dan pergerakan rakyat di kawal.
Walaupun sudah menghampiri tempoh setahun, belum ada tanda-tanda ia akan tamat. Dalam keresahan itu rakyat tertanya-tanya apakah penyelesaian kepada pandemik ini? Adakah vaksin akan menjadi penawarnya? Jika benar vaksin merupakan satu-satunya cara untuk kita kembali menjalani kehidupan yang normal, rakyat merasakan kehadirannya ke negara ini perlu disegerakan.
Imej-imej pemimpin negara jiran disuntik dengan vaksin tersebut benar-benar menguji kesabaran rakyat Malaysia yang merasakan kita agak ketinggalan ke belakang daripada segi perolehan vaksin Covid-19.
Apabila melihat gambar-gambar itu, ada yang menggambarkan ia ibarat menunggu dalam barisan kelas ekonomi untuk menaiki kapal terbang sementara penumpang kelas satu sudah jauh ke hadapan.
“Pada saat kita naik, mereka sudah duduk, dengan minuman sudah di tangan mereka,” demikian antara luahan kekecewaan.
Namun sebenarnya, perolehan vaksin ini bukan sengaja dilewatkan. Memang berjuta-juta orang di negara-negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Israel, dan China sudah mula disuntik, namun bekalan vaksin yang terhad menyebabkan ada negara yang terpaksa menunggu.
Setakat ini pihak pengeluar telah menghasilkan dos vaksin untuk puluhan juta orang. Namun sudah tentunya ia jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan 7.7 bilion penduduk dunia.
Pfizer-BioNTech merancang untuk menghasilkan dua bilion dos tahun ini – cukup untuk satu bilion orang- kerana setiap orang perlu menerima dua dos. AstraZeneca berharap dapat menghasilkan tiga bilion dos vaksinnya, yang dibangunkan bersama dengan Universiti Oxford. Sementara itu, Moderna merancang untuk memberikan satu bilion dos.
Disebabkan penghasilan dos awal yang terhad ini berlaku perlumbaan siapa dahulu yang dapat bekalan. Keadaan menjadi menjadi lebih rumit apabila berlaku tawar-menawar antara negara, kesempatan untuk membuat keuntungan, campur tangan politik dan peraturan-peraturan lain.
Adakah ini bermakna Malaysia ketinggalan dalam perlumbaan untuk mendapatkan bekalan awal vaksin Covid-19 ini? Sebenarnya tidak. Malaysia adalah antara negara yang terawal memperolehi vaksin ini. Jika dilihat jarak masa vaksin ini akan sampai ke negara kita berbanding dua negara jiran tadi, sebenarnya tidak ada banyak perbezaan pun. Bukannya jarak berbulan-bulan lama.
Tarikh ketibaan dos vaksin itu ke Malaysia sebenarnya setaraf dengan negara maju yang lain. Negara seperti Kanada misalnya masih bergelut dengan proses memperoleh dan mendapatkan vaksin itu.
Afrika Selatan juga masih belum memberi vaksin kepada 58 juta penduduknya walupun sudah memesan 20 juta dos.
Dalam keadaan kehidupan harian tertekan disebabkan Covid-19 ini, sudah tentu kita mengharapkan penyelesaian segera dan kalau boleh mendahului negara-negara lain dan program vaksinasi ini.
Tetapi kita sendiri terpaksa bergantung kepada pihak lain dan terpaksa pula bersaing dengan kuasa-kuasa besar dalam perlumbaan mendapat vaskin ini. Vaksin Covid-19 sudah dalam perjalanan ke negara ini.
Cuma kita perlu bersabar menunggu ketibaan dan seterusnya bersabar melihat keputusan selepas vaksin itu disuntik kepada kumpulan penerimanya yang pertama. Penantian itu memang satu penyiksaan. Pada masa sekarang kita tidak mempunyai pilihan lain.
Semoga ketibaan vaksin ini akan menjadi penyelamat yang akan membebaskan kita daripada cengkaman pandemik Covid-19 ini.
Sama ada selepas menerima dos vaksin ini kehidupan kita akan kembali normal seperti sedia kala, tiada siapa boleh memberi jaminan. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×