KEMERIAHAN rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri kerajaan perpaduan yang disambut di negeri-negeri Perikatan Nasional (PN) merupakan satu usaha yang baik bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim di antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
Rumah Terbuka Malaysia Madani yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri kerajaan perpaduan yang dijadualkan berlangsung bermula antara 29 April hingga 14 Mei depan melibatkan enam negeri termasuk tiga di bawah PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sambutan rumah terbuka yang pertama daripada siri enam Rumah Terbuka Malaysia Madani telah diadakan di pekarangan sebuah hotel di Alor Setar, Kedah pada 29 April lalu yang dihadiri lebih 10,000 orang.
Anwar dalam hantaran di Facebook beliau, menyatakan dirinya dan pimpinan kerajaan perpaduan ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada puluhan ribu rakyat pelbagai kaum yang sudi meluangkan masa menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah.
“Peluang yang ada dapat saya gunakan untuk menyantuni, bersalaman dan bergambar bersama para pengunjung yang hadir. Ada yang datang dari jauh seawal pagi, ada ibu yang menjahit baju raya baharu buat keluarga untuk digayakan, malah pelbagai ceritera dikongsikan pengunjung sewaktu bersua.
“Insya-Allah majlis ini akan diteruskan dalam merapatkan silaturahim antara semua pihak tanpa mengira latar belakang, kaum, bangsa dan agama,” katanya. Rumah terbuka di Kedah akan disusuli Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).
Kaedah ini dilihat lebih murah dan menjimat kos kerana ia hanya meletakkan sasaran kehadiran lebih rendah iaitu 10,000 orang setiap satu, berbanding 100,000 jika rumah terbuka diadakan di Putrajaya seperti kebiasaan.
Di samping itu, kerajaan Pusat hanya menanggung belanja sepenuhnya bagi jamuan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang ditadbir Pas, manakala rumah terbuka di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dikendalikan serta dibayar oleh kerajaan negeri.
Oleh itu, hal ini bukanlah polemik dan isu politik yang seharusnya diperbesarkan. Ini kerana rakyat seharusnya mengambil peluang untuk hadir dan berinteraksi dengan semua kepimpinan Pusat mahupun negeri.
Saya melihat ini merupakan satu perkembangan yang positif ke arah politik matang seterusnya memberi gambaran bahawa kerajaan Pusat tidak meminggirkan kerajaan negeri pimpinan PN. Sebagai rakyat, sudah tentu kebanyakan sangat celik dan bijak membuat penilaian terhadap pencapaian pemimpin sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri.
Rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri kerajaan perpaduan itu sangat penting bagi tujuan menyampaikan hasrat dan tekad Perdana Menteri bagi seluruh rakyat tanpa memandang warna parti.
Ia merupakan langkah tepat untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa keyakinan Perdana Menteri bersama seluruh menteri Kabinet sangat komited menyelesaikan isu-isu rakyat khususnya bagi menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga.
UKHUWAH
Ia merupakan usaha baik yang perlu disokong oleh semua tanpa dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Hal ini sangat bertepatan dengan tuntutan ibadah puasa bagi memastikan golongan rakyat miskin sentiasa diberikan pembelaan dan hidup dengan sempurna.
Madrasah Ramadan mengajar umat Islam agar sama-sama merasai bagaimana sebahagian rakyat yang tidak cukup makan perlu diangkat martabatnya. Jelas, Islam sangat menyantuni dan mendidik masyarakat supaya tidak meminggirkan golongan miskin dan susah serta hidup kelaparan.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut secara luar kebiasaan pada kali ini merupakan satu pendekatan baharu diperkenalkan oleh Anwar bagi menyantuni semua rakyat. Inilah hakikat kemenangan sebenar umat Islam apabila selesai menyempurnakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan.
Kemenangan menyatukan kembali ukhuwah atau persaudaraan sesama umat Islam di samping mempamerkan keindahan Islam melalui nilai budaya dan adat tradisi yang telah pun menjadi sebahagian akhlak umat Islam meraikan hari kemenangan. Perasaan gembira ini bukan sekadar menghubungkan silaturahim, namun dapat menjamu makanan yang enak buat rakyat.
Ramai tidak melepaskan peluang berkunjung rumah terbuka Perdana Menteri bahkan dapat menyaksikan sendiri kesungguhan Anwar dan barisan jemaah menteri menyantuni rakyat secara lebih dekat.
Saya sendiri sangat teruja dan sempat bersalaman dengan Perdana Menteri dan bergambar bersama-sama beberapa orang menteri Kabinet kerajaan perpaduan. Pengalaman manis ini sudah tentu memberikan inspirasi dan semangat untuk bersama-sama kepimpinan Anwar menjayakan misi dan tekad kerajaan perpaduan membawa negara dan rakyat ke arah kecemerlangan.
Semoga kehadiran dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dapat memberi sinar baharu buat rakyat dan Malaysia tercinta. Kejayaan demi kejayaan telah dibuktikan oleh kepimpinan Perdana Menteri dalam usaha menarik pelaburan luar serta meningkatkan keyakinan pemimpin dunia untuk melabur di dalam negara ini.
Inilah pemimpin yang mampu mencetuskan kejayaan luar biasa sehingga nilai dan adab karamah insaniah (kemuliaan insan) iaitu falsafah yang menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia dapat diterjemahkan melalui dasar dan kerangka Malaysia Madani.
Diharapkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi kemenangan dan kejayaan buat pimpinan kerajaan perpaduan diterajui oleh tokoh pejuang rakyat, Anwar dan barisan menteri Kabinet. – UTUSAN
DR. Zuraimy Ali ialah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis.











