PETALING JAYA: Persatuan Institut Bumiputera Profesional Hartanah Malaysia (BUMIPRO) mencadangkan agar kerajaan mewajibkan pemaju perumahan menggaji ejen hartanah berdaftar (REA) di syarikat masing-masing.
Pengerusinya, Datuk Sr Rohaizal Idris berkata, REA merupakan profesional yang mengetahui selok-belok hartanah seperti harga pasaran, penerimaan dan penawaran untuk sesuatu jenis pembangunan itu.
“Maka mereka dapat memberi nasihat mengenai anggaran nilai pasaran hartanah serta jenis pembangunan yang ingin dibangunkan dan di sini kita boleh melihat peranan yang dijalankan sebagai ejen hartanah berdaftar banyak memberi kelebihan dalam syarikat pemaju.
“Tambahan pula, ejen hartanah berdaftar juga dapat merangka rancangan strategi pemasaran yang terbaik untuk menjual atau menyewa bangunan selain membuat sasaran tepat kepada kelompok pembeli yang mempunyai permintaan tinggi untuk jenis pembangunan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, terdapat 2,123 REA berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta (LPPEH) buat masa ini dan jumlah itu bertambah setiap tahun serta mencukupi untuk menampung syarikat pemaju yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Seorang REA yang berdaftar dengan LPPEH wajib ada di dalam setiap syarikat pemaju, dengan kata lain pihak kementerian seharusnya mewajibkan setiap syarikat pemaju perumahan golongan berkenaan bekerja dengan mereka.
“Ia sama seperti yang dilakukan oleh pemain-pemain industri lain sebagai contoh, syarikat pembinaan wajib mengambil Pegawai Kesihatan dan Keselamatan (Safety Officer) bekerja dengan mereka terutama dalam semak dan imbang,” katanya.
Menurut Rohizal, pemaju dan REA saling memerlukan antara satu sama lain sejak dahulu lagi dengan masing-masing memegang peranan yang saling berkait dalam membangun dan menjalankan sesebuah projek hartanah.
Beliau berkata, pembangunan hartanah yang semakin berkembang dan bersaing dengan sihat mengikut peredaran masa merupakan proses yang melibatkan semua pihak berkepentingan bukan hanya pemaju. – UTUSAN










