PETALING JAYA: MMC Port Holdings Sdn. Bhd. (MMC Ports), menerusi anak syarikat penuh miliknya, Andaman Port Sdn. Bhd. berjaya menyempurnakan operasi pemindahan kargo dari kapal ke kapal atau Ship-to-Ship (STS) di Pelabuhan Yan, Kedah.
Operasi STS itu berjaya dilaksanakan pada 25 hingga 26 April lalu di salah satu daripada 10 lokasi yang diluluskan, terletak 5 batu nautika dari pesisiran Pulau Bunting.
Menurut MMC Ports, pihaknya sedang memajukan Pelabuhan Yan sebagai hab untuk operasi STS dan komited untuk menyediakan perkhidmatan STS yang selamat dan efisien.
“Pelabuhan Yan terletak di lokasi yang strategik iaitu di laluan utama perkapalan antarabangsa yakni di bahagian utara Selat Melaka dan kedalaman laut sehingga 30 meter sesuai untuk semua jenis kapal seperti VLCC dan Q-Max,” katanya dalam kenyataan.
MMC Ports berkata, operasi STS yang pertama kali di dalam had Pelabuhan Yan, berjaya dilaksanakan dengan mematuhi kriteria dan tahap keselamatan yang tinggi sebagaimana ditetapkan oleh pihak berkuasa tanpa mengabaikan kelestarian ekosistem laut dan alam sekitar.
Jelasnya, kejayaan operasi STS hasil kerjasama yang baik dan utuh dengan pihak-pihak berkuasa Persekutuan dan negeri termasuk Kementerian Pengangkutan, Jabatan Laut Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah serta lain-lain agensi kerajaan yang turut terlibat bagi memastikan ia berjalan lancar, selamat dan efisien.
“MMC Ports mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam penyediaan perkhidmatan marin yang komprehensif dengan tahap keupayaan prestasi yang kukuh untuk mengendalikan pelbagai jenis kargo,” tambahnya.
Tambahnya lagi, MMC Ports telah menerima beberapa tempahan tetap pada suku tahun seterusnya dari Asia Barat, China dan Korea untuk melaksanakan aktiviti STS di Pelabuhan Yan bagi pemindahan kargo-kargo seperti minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan gas petroleum cecair (LPG). – UTUSAN










