KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri perlu diadakan sebelum cuti sekolah bermula 25 Ogos tahun ini jika mahu dijalankan secara serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana semua negeri perlu mengambil kira tarikh pembubaran negeri lain.
Ini termasuklah Negeri Sembilan yang Dewan Undangan Negerinya bubar lebih awal berbanding negeri lain.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, ia mengambil kira logistik yang pada secara dasarnya PRN sesuai dijalankan pada musim cuti sekolah.
“Kita memang setuju untuk kesemua PRN dibuat dalam tempoh masa yang sama supaya dapat menjimatkan kos seperti yang disarankan SPR sebelum ini.
“Cuma, kalau nak buat pada cuti sekolah, saya tidak rasa sempat sebab Negeri Sembilan akan dibubarkan lebih awal daripada negeri lain iaitu 1 Jun ini, maka, dalam tempoh 60 hari pilihan raya perlu diadakan.
“Jika mengambil kira cuti sekolah penggal kedua bermula 25 Ogos, bermakna PRN mungkin perlu dibuat lebih awal dari tarikh itu mengikut tarikh pembubaran Negeri Sembilan, ia bagi membolehkan PRN di enam-enam negeri dijalankan secara serentak,” katanya yang juga Ketua Penerangan PKR ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kerajaan boleh jimat sehingga RM100 juta jika enam negeri mengadakan PRN serentak.
Jelasnya, jika Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN serentak, kosnya cuma RM400 juta berbanding RM500 juta jika diadakan berasingan.
Tambahnya lagi, SPR mempunyai ruang mengadakan enam PRN itu serentak pada Julai ini, jika enam negeri itu sepakat membubarkan DUN pada minggu terakhir Jun.
Mengulas lanjut, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kestabilan kerajaan dan negara menjadi lebih fokus apabila PRN dilakukan serentak, maka isu politik tidak perlu berlarutan sehingga sepanjang PRN diadakan jika ia dibuat secara berasingan.
“Itulah yang terbaik bagi menjimatkan kos supaya PRN dapat bergerak serentak. Ini dapat jimatkan perbelanjaan, kita berpolitik bagi satu tempoh tertentu dan tidak berhadapan dengan pilihan raya sepanjang tahun.
“Fokus harus diberi kepada bagaimana nak lonjakkan kembali ekonomi negara sekaligus memastikan rakyat mendapat keutamaan dalam isu yang melanda mereka seperti kos sara hidup, pendapatan mereka tidak menentu, jadi kita perlu pastikan.
“Malah ada perbincangan di peringkat menteri-menteri besar dan difahamkan ada kesepakatan dalam konteks ini, dan kita sangat mengalu-alukan jika perkara ini dapat direalisasikan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut bersetuju PRN diadakan secraa serentak bagi menjimatkan kos.
Namun, SPR dikatakan perlu bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menggunakan jentera kerajaan ketika kempen pilihan raya dijalankan.
“Secara asasnya semua dewan negeri akan dibubar pada bulan Jun. Maka SPR boleh memilih masa yang sesuai dan serentak dalam tempoh 60 hari lepas bubar, Pas setuju ia elok diadakan serentak bagi menjimatkan kos.
“Dan larangan kepada semua pihak tindak menggunakan jentera kerajaan semasa kempen dan pihak pemantau SPR perlu bertindak tegas jika berlaku penggunaan jentera kerajaan semasa kempen,” katanya. – UTUSAN










