Serap staf kontrak ke jawatan tetap - Utusan Malaysia

Serap staf kontrak ke jawatan tetap

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mempertimbangkan langkah menyerap kira-kira 30,000 kakitangan kontrak yang berkhidmat lebih 10 hingga 15 tahun secara one off ke dalam sektor awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, beliau difahamkan perkara itu sudah dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas menerima banyak aduan daripada kakitangan berkenaan.

Beliau berkata, satu dasar berhubung kakitangan kontrak sudah diluluskan kerajaan bagi membolehkan mereka diberi jawatan tetap apabila sudah berkhidmat 15 tahun ke atas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, agak malang apabila sebahagian daripada mereka yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun secara tiba- tiba tidak disambung dan ditamatkan per­khidmatan.

“Kakitangan berkenaan boleh berkhidmat lima tahun lagi untuk diserapkan ke jawatan tetap,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2023 di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya semalam.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya turut meminta kerajaan meningkatkan kebajikan warga penjawat awam termasuk menyelesaikan isu lambakan kuarters penjawat awam yang tidak berpenghuni.

Katanya, CUEPACS mahu kerajaan mewujudkan satu agensi pusat bagi mengawal selia semua kuarters bagi memudahkan urusan kemasukan penghuni baharu dan mengelak daripada timbul lebih banyak kerosakan.

“Kami difahamkan banyak kuarters penjawat awam di seluruh negara yang tidak diisi sedangkan terdapat permintaan mendesak terutama di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya,” katanya.

Kata beliau, cadangan itu juga akan memudahkan urusan penyelenggaraan kuarters apabila peruntukan yang ada lebih besar dan mampu digunakan dengan optimum.

Pada masa sama, Adnan berkata, CUEPACS juga meminta kerajaan supaya tidak lagi membuat pemotongan elaun Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada penjawat awam yang mendiami kuarters kerajaan dan dana itu boleh digunakan untuk perbelanjaan lain berkaitan sara hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×