SAYA pernah menulis satu artikel yang merupakan tulisan saya yang pertama pernah diterbitkan pada 1999.
Artikel tersebut bertajuk Mahasiswa pascakrisis yang cuba membincangkan senario gerakan mahasiswa yang responsif kepada gerakan reformasi pada ketika itu dan berhadapan dengan krisis kewangan Asia serta krisis politik negara setelah pemecatan dari kerajaan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saya membincangkan cabaran gerakan mahasiswa yang bergerak atas lima landasan iaitu menjiwai etika Islamiah; sedar erti demokrasi dan hak asasi manusia; mahasiswa yang berilmu dan berfikiran global; bergerak atas landasan masyarakat sivil dan beridealisme yang teguh.
Salah satu cabaran utama mahasiswa ketika itu adalah menghadapi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang saya lihat terlalu keras mengongkong gerakan mahasiswa sehingga menjadikan mereka lesu dan tidak berprinsip dalam perjuangan.
Apa yang menarik, kini diri saya juga menjadi semakin dewasa. Kita juga sedang bercakap berkenaan perkara sama, iaitu mahasiswa yang memenuhi aspirasi pascakrisis.
Seperti kita tahu, negara kini dalam proses pemulihan setelah menghadapi tiga krisis utama, iaitu pandemik Covid-19; penguncupan ekonomi kesan daripada pandemik tersebut serta krisis politik semenjak 2018 sehingga mengakibatkan pertukaran Perdana Menteri sebanyak empat kali dalam masa lima tahun.
Ironinya, kekalutan politik pada 1999 melibatkan Anwar. Tahun ini, Anwar juga terlibat tetapi beliau dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.
Satu lagi ironi yang menarik saya tinjau ialah mahasiswa masih cuba mencari inspirasi dalam memenuhi era pascakrisis masa kini. Dalam usaha itu, isu AUKU muncul semula dan menjadi perdebatan umum sama ada perlu dikuburkan, dikekalkan, diberi nama baharu atau dipinda mengikut kesesuaian semasa.
Di atas perkara ini, saya dijemput khas oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyertai sesi dialog mengenai AUKU pada 6 April lalu.
Sebagai seorang yang terlibat dengan gerakan mahasiswa di era 1990-an dan kini masih di menara gading sebagai tenaga pengajar dan profesor di universiti, saya berkesempatan berkongsi pandangan dan hujah saya dalam usaha menambah baik dasar dan pelaksanaan AUKU sekiranya ingin dikekalkan.
ZALIM
Melihat AUKU kini berbanding AUKU pada 1999, jelas sekali pandangan saya telah berubah. Pada 1999, saya adalah penentang AUKU dan kini pada 2023, saya pula menjadi pendukung kepada AUKU.
Kini saya menolak pandangan bahawa AUKU sebagai undang-undang yang menyekat atau draconian (zalim). Hujah saya untuk menyokong kini banyak berkait rapat dengan pindaan yang dilakukan ke atas AUKU.
Sehingga kini, terdapat tujuh kali pindaan dan impak terbesar adalah pada 2012 (pindaan keenam) dan 2019 (pindaan ketujuh).
Kedua-dua pindaan ini memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk melibatkan diri dengan politik nasional dan antarabangsa sama ada di luar mahupun di dalam kampus.
Hak berpolitik mahasiswa menjadi sangat luas sehinggakan ada yang bertanding di dalam pilihan raya dan menang menjadi wakil rakyat. Ini signifikan kepada kebebasan politik yang diberikan.
Malah, mahasiswa juga diberikan hak melaksanakan pilihan raya kampus yang diurus sepenuhnya oleh mereka termasuk menubuhkan kesatuan pelajar yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Sekiranya ada bantahan lagi akan matlamat kebebasan berpolitik ini, saya rasa sudah pasti mahasiswa itu sebenarnya tidak faham dan tidak menyedari kebebasan berpolitik yang telah diperuntukkan oleh AUKU itu sendiri.
Seperti dijelaskan sebelum ini, AUKU sebenarnya bukanlah satu undang-undang mengenai hal ehwal kemahasiswaan sahaja. Ia sebenarnya mencakupi ekosistem pendidikan tinggi secara keseluruhannya.
Malah, pensyarah atau kakitangan akademik juga menyuarakan perlunya AUKU ini dipinda kerana pensyarah hanya didefinisikan sebagai guru dan peranan pensyarah tidak dijelaskan.
Sebaliknya, ia dijelaskan dalam Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000. Jadi, pindaan ini juga mungkin diperlukan khususnya bagi jaminan kebebasan akademik secara sepenuhnya.
Saya juga yakin kerajaan dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempunyai iltizam politik untuk memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa menguruskan sendiri aktiviti mereka termasuk berkaitan dengan hal kewangan yang termaktub dalam Seksyen 15A.
Yang pasti, kebebasan diberikan haruslah berserta tanggungjawab mahasiswa untuk menjalankan amanah tersebut. Di suatu masa nanti, mahasiswa secara bebas boleh mencari dana aktiviti mereka sendiri. Namun, haruslah diaudit supaya datangnya dari sumber sah.
Yang jelas, melalui dialog yang saya hadiri, Mohamed Khaled bersetuju untuk meminda dan menambah baik AUKU supaya boleh membawa kepada kebaikan bersama. Namun, terdapat peringatan diberikan yang mana saya setuju akan perkara ini.
Sepertimana hujah saya mengenai mahasiswa pascakrisis, negara sebenarnya ingin melahirkan mahasiswa yang minda terbuka dan berfikiran global. Kita tidak mahu melahirkan mahasiswa yang jumud dan terlalu dogmatik kepada politik kepartian dan perkauman.
Politik yang diingini haruslah lebih luas kerana cabaran globalisasi memerlukan ketahanan diri yang kuat daripada mahasiswa sebagai ejen perubah masyarakat dan pemimpin masa hadapan. Oleh kerana ini, kerajaan tidak berhasrat membenarkan cawangan parti politik dibuka di kampus seluruh negara.
Saya sebenarnya gembira melihat hasil perjuangan pemimpin mahasiswa terdahulu. Kini nikmatnya dapat dirasai oleh generasi pemimpin mahasiswa pada masa ini. Yang pasti, KPT akan merencanakan AUKU berjiwa baharu membawa agenda dan roh Malaysia Madani.
Yang menggembirakan saya ialah semangat mahasiswa pascakrisis yang saya bawa pada 1999, masih lagi relevan pada tahun ini. Malah, agenda AUKU yang diperjuangkan menjadi lebih baik daripada sebelumnya yang akan memberi manfaat kepada warga kampus keseluruhannya. Jadi, warga kampus mempunyai harapan besar melihat AUKU berhasil membawa kepada kebaikan umum. – UTUSAN
DR. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani ialah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).











