Buat PdPR ganti sekolah tutup sebab cuaca panas

Buat PdPR ganti sekolah tutup sebab cuaca panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penutupan sekolah jika status suhu harian bagi cuaca panas dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius sehingga menjejaskan sesi pembelajaran bersemuka perlu diganti dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, ini bagi memastikan jumlah hari persekolahan 190 hari di dalam kalendar akademik Kementerian Pendidikan dipenuhi tanpa ada penangguhan.

Bagaimanapun katanya, sesi persekolahan dan pembelajaran bersemuka masih boleh dite­ruskan dan penutupan sekolah boleh dilakukan secara bersasar mengikut kawasan yang me­ngalami cuaca panas melampau.

“Bagi saya, murid sekolah menengah tiada masalah untuk menggunakan kaedah PdPR cuma masanya perlu dipendekkan ke 30 minit.

“Untuk situasi murid sekolah rendah, mungkin kena teruskan pembelajaran secara bersemuka mengambil kira ibu bapa yang tidak dapat menyediakan pembelajaran digital sebab sebelum ini ramai yang keciciran.

“Justeru, pihak sekolah kena menyediakan pelan intervensi jika waktu persekolahan ditangguhkan. Takut jumlah hari persekolahan dalam pekeliling kementerian tidak tercapai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kementerian Pendidikan kelmarin mengeluarkan garis panduan susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini, yang antaranya membenarkan penutupan sekolah jika status suhu harian bagi cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

Menerusi surat siaran itu, institusi pendidikan di bawah kementerian termasuk sekolah dibenarkan tutup jika kawasan mereka diisytihar gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×