PETALING JAYA: Malaysia bakal berdepan cuaca panas dan kering dengan suhunya melebihi 40 darjah Celsius sehingga merisikokan berlaku kebakaran hutan serta jerebu merentas sempadan.
Ketika ini Malaysia sedang didominasi sistem tekanan berskala besar berkaitan dengan Ayunan Madden-Julian yang menyebabkan liputan awan berkurangan, pancaran matahari meningkat dan curahan hujan rendah.
Ia secara langsung meningkatkan suhu dan keadaan panas iaitu gelombang haba yang sedang dialami. Sepanjang fasa tersebut ia melemahkan peralihan monsun yang biasanya keadaan cuaca didominasi ribut petir dan hujan lebat.
Ramalan mingguan Ayunan Madden Julian dikeluarkan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat pada 24 April menunjukkan pusat sistem tekanan tinggi berskala besar tersebut sudah bergerak ke Timur dan akan digantikan oleh pusat tekanan rendah yang kesannya akan menggalakkan perolakan dan mengukuhkan ciri cuaca semasa musim peralihan monsun.
Pakar Klimatologi dan Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, keadaan cuaca panas sejak awal April ini dijangka lebih ketara Jun ini sehingga suhu di beberapa kawasan boleh mencapai atau lebih 40 darjah Celsius.
Menurut beliau, dijangka bermula awal Jun, negara mengalami musim monsun barat daya iaitu satu tempoh paling kering dan panas di Malaysia.
PANAS
“El Nino diramalkan mula berlaku Jun dan keadaan akan menjadi lebih panas serta lebih kering bermula Jun hingga Oktober. Fasa tersebut kali ini diramal berkategori kuat.
“Semasa El Nino, kebiasaan seluruh negara akan mengalami cuaca panas dengan di utara Sarawak dan Sabah keadaan boleh berpanjangan sehingga Mac dan April 2024,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pakar Meteorologi, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berpendapat hanya tiga negeri berkemungkinan berdepan cuaca panas tersebut iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Beliau menasihatkan orang ramai mengelakkan aktiviti di luar dan minum air secukupnya bagi mengelakkan menghadapi komplikasi disebabkan gelombang haba.
“Ketika panas terik ini orang ramai perlu menutup kepala mereka seperti memakai kopiah, topi dan sebagainya. Malah, duduk di kawasan-kawasan redup berbanding di tengah panas,” nasihat Azizan. – UTUSAN










