PETALING JAYA: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CCPIT Xiamen Committee/Pusat Dagangan Dunia Xiamen (WTC Xiamen) bagi menggalakkan perdagangan, pertukaran ekonomi, kerjasama pelaburan dan pertukaran teknologi.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Setiausaha Agung CCPIT Committee/WTC Xiamen, You Yu Hong di Ghana, semalam bersempena Perhimpunan Agung Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) ke-53.
Irmohizam berkata, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada pelaburan, perdagangan, ekonomi dan teknologi di mana kedua-dua pihak akan memanfaatkan kekuatan serta kepakaran masing-masing.
Beliau yakin, perkongsian strategik itu juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengukuhkan keberadaan dalam industri acara perniagaan dan turut membantu dalam memudahkan pertumbuhan ekonomi yang lebih luas di kedua-dua negara.
“Melalui inisiatif ini, WTC Xiamen dan WTCKL boleh mengembangkan rangkaian dan perkongsian maklumat dengan lebih mudah dan menyeluruh. Yang lebih penting, MOU ini akan membolehkan kami memudahkan proses keamanan melalui perdagangan untuk menyatukan komuniti perniagaan,” katanya dalam kenyataan dari Accra, Ghana.
Irmohizam merupakan Pengerusi Persidangan dan Pameran (C&C) Ahli Majlis Penasihat WTCA dan merupakan rakyat Malaysia pertama menghadiri perhimpunan berkenaan dari 23 hingga 28 April 2023.
Pada persidangan itu, beliau bertemu beberapa pemimpin termasuk Naib Presiden Ghana, Mahamudu Bawumia dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Namibia, Lucia Lipumbu.
Misi beliau adalah untuk menarik pelaburan dari seluruh dunia dengan bertemu pelabur berpotensi untuk kerjasama masa depan dan mempromosikan perdagangan, pertukaran maklumat, pendidikan & penyelidikan serta perkhidmatan acara perniagaan (BE). – UTUSAN










