PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) mengekalkan saranan ‘beli’ untuk Axiata Group Bhd. pada harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.70.
Bank penyelidikan itu dalam nota kajiannya berkata, kos integrasi dan susut nilai yang dipercepatkan di CelcomDigi Bhd., bersama-sama dengan tekanan berterusan pada ‘op-cos’, berpotensi menyebabkan paras terendah baharu bagi keuntungan bersih Axiata pada tahun kewangan 2023 (TK2023).
Bagaimanapun Maybank IB berkata, pihaknya menjangkakan pengembalian pertumbuhan bagi TK2024 dengan pengurusan memberi tumpuan kepada pembaikan lembaran imbangan dan terbuka kepada pengewangan aset.
“Pada pandangan kami ganjaran berisiko keseluruhan kekal positif dan mengekalkan ‘beli’ dengan TP berasaskan SOP pada RM3.70 (-3.0 peratus),” katanya.
Maybank IB turut menurunkan unjuran keuntungan bersih CelcomDigi bagi TK2023/2024 dengan masing-masing sebanyak 26 peratus dan 15 peratus merangkumi andaian susut nilai yang lebih tinggi.
Katanya, dengan penyatuan rangkaian kini sedang dijalankan, kira-kira 25 peratus daripada kumulatif CelcomDigi, lebih daripada 23,000 tapak berpotensi dilupuskan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Ini berkemungkinan akan menyebabkan caj susut nilai meningkat dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Maybank IB juga turut menyemak unjuran keuntungan bersih bagi TK2023 dan TK2024 dengan masing-masing berkurangan 21 peratus dan tujuh peratus manakala TK2025 bertambah enam peratus.
Katanya, ia diunjur selepas menggabungkan ramalan kemaskini firma penyelidikan berkenaan bagi CelcomDigi, susut nilai dan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi.
“TP kami (diperoleh daripada jumlah bahagian dengan setiap op-co bernilai pada DCF) diturunkan kepada MYR3.70 daripada MYR3.80.
“Axiata sedang memasuki fasa ‘pembaikan lembaran imbangan’ kerana ia berusaha ke arah mengurangkan penggearan (kepada sasaran 2.5x hutang kasar kepada EBITDA) dan kami mengandaikan DPS tahunan 10 sen pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










