MITRA ialah nama ringkas bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia. Ia telah menjadi buah mulut dalam kalangan sebahagian besar komuniti India di seluruh negara, merentasi negeri, kumpulan dan kawasan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15. Tular dalam media sosial kononnya ada pemimpin-pemimpin politik terpalit dalam penyalahgunaan geran Mitra.
Laporan rasmi yang tersiar dalam media arus perdana pada 22 Januari 2022 kononnya seramai 22 orang telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan atas dakwaan kononnya salah guna geran Mitra telah membuktikan andaian dan dakwaan yang ditularkan dalam media sosial terbabit.
Perlu sedar bahawa Mitra adalah penjenamaan baharu Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) yang ditubuhkan oleh kerajaan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014.
Memandangkan sokongan komuniti India terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) kian merosot kerana beranggapan bahawa mereka tertinggal atau terpinggir daripada arus perdana pembangunan negara, maka MIC yang dipimpin oleh Tan Sri Dr. S. Subramaniam telah menarik perhatian kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat India supaya kaum itu tidak terus menjauhkan diri daripada kerajaan BN.
Dengan itu, satu Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India (CCIC) telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh Presiden MIC. CCIC telah berfungsi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk merancang dan melaksanakan pelan pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Ekoran itu, beberapa agensi seperti Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas (SITF), Pelan Tindakan Untuk Masa Depan Sekolah Tamil (PTST), Sekretariat Khas Untuk Pemerkasaan Usahawan India (SEED) dan SEDIC ditubuhkan dan diletakkan di bawah penyeliaan CCIC.
Memandangkan timbulnya pertindihan antara banyak agensi tersebut, maka agensi-agensi tersebut itu disatukan dalam satu agensi induk iaitu SEDIC pada 2017.
Namun, SEDIC dijenamakan semula sebagai Mitra pada 2018 apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan daripada BN. Malah, Mitra ditukar daripada JPM dan diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan. Mitra terus beroperasi dibawah Kementerian Perpaduan apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pada Mac 2020.
Tetapi, Mitra dipindah semula ke JPM pada September 2022 dan kekal di situ walaupun kerajaan PN digantikan dengan kerajaan perpaduan.
Dalam pada itu, meskipun SEDIC disediakan peruntukan khas untuk membantu operasinya, Mitra dilaporkan disediakan RM100 juta setiap tahun mulai 2019 hingga sekarang untuk tujuan melaksanakan program yang dirancangnya bagi memperkasakan sosioekonomi komuniti India.
Persoalannya, adakah RM100 juta itu dibelanjakan untuk melaksanakan program-program pembangunan sosioekonomi kaum India dan apakah peruntukan itu sampai kepada sasaran yang ditujukan iaitu kumpulan yang memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk latihan, bantuan kewangan, bimbingan atau bantuan modal pusingan atau geran untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan?
LENYAP
Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa lepas, sebahagian besar geran Mitra dibelanjakan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan sosioekonomi komuniti India.
Geran juga disediakan untuk pertubuhan sosial dan agama untuk menganjurkan pelbagai program menjurus kepada pembangunan ekonomi, sosial, agama serta keharmonian antara kaum dalam usaha membina sebuah komuniti India yang progresif, maju dan berupaya untuk mendepani cabaran-cabaran semasa.
Kita juga tidak dapat menafikan program Mitra telah membantu membuka banyak peluang kepada kumpulan masyarakat India yang berpendapatan rendah (B40) dalam meningkatkan keupayaan untuk menambah pendapatan mereka.
Pada masa sama, terdapat juga dakwaan geran Mitra berjumlah berjuta-juta ringgit disalahgunakan ataupun dilenyapkan oleh sesuatu kumpulan untuk memenuhi kepentingan mereka.
Persoalannya, bagaimana perkara ini boleh berlaku? Apakah pihak pengurusan atasan Mitra kurang teliti dalam meluluskan dan menyalurkan peruntukan yang begitu banyak ataupun bersekongkol dengan pihak yang menyalahgunakan kuasa seperti didakwa oleh sesetengah pihak dalam media sosial?
Sehubungan ini, komuniti India mengalu-alukan langkah mewujudkan Jawatankuasa Khas Mitra baru-baru ini oleh kerajaan perpaduan bagi mengawasi operasinya supaya geran tidak disalahgunakan.
Lebih-lebih lagi jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil daripada pelbagai parti politik seperti pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dari PKR, Datuk R. Ramanan dan ahli-ahlinya daripada PKR, DAP dan MIC.
Dengan itu, menjadi harapan besar agar jawatankuasa ini akan melaksanakan peranannya tanpa terpengaruh dengan mana-mana fahaman parti politik tertentu. Pelaksanaannya perlu cekap, telus dan berintegriti seperti dilaungkan oleh kerajaan Malaysia Madani.
Jawatankuasa ini hendaklah memastikan RM100 juta yang disediakan oleh kerajaan itu dimanfaatkan dengan sepenuhnya bagi mencapai matlamat penubuhan Mitra iaitu memperkasakan komuniti India dalam bidang sosioekonomi secara holistik.
Bahkan, jawatankuasa ini juga harus mengambil langkah-langkah untuk membina semula imej Mitra dalam kalangan komuniti India yang telah dicemari akhir-akhir ini oleh sesetengah pihak yang tidak beramanah.
Selain itu, jawatankuasa ini juga perlu memastikan kaum India tidak beranggapan Mitra sebagai satu lagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau Maika Holdings Berhad, yang matlamat penubuhannya adalah baik tetapi akhirnya ditolak oleh masyarakat India kerana didakwa terpalit dengan skandal penyalahgunaan kuasa.
Justeru, ia seharusnya berfungsi sebagai sebuah agensi khas kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan kualiti hidup sebahagian masyarakat India yang masih memerlukan bantuan dan bimbingan daripada kerajaan dan Mitra bukan sebagai lubuk rezeki bagi individu atau kumpulan tertentu. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.










