Hilang tiga anak perempuan sekelip mata

Hilang tiga anak perempuan sekelip mata

R. Thammamty (kanan) dan adiknya, R. Turgadevi menunjukkan gambar tiga sepupu mereka yang meninggal dunia dalam kejadian lemas di Pantai Cahaya, Port Dickson, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang ibu hanya mampu menangis selepas hilang tiga anak perempuannya sekelip mata akibat lemas ketika berkelah di Pantai Cahaya, di sini, kelmarin.

K. Anchalay, 52, bersama R. Kalaivani, 30, R. Dawige, 29, dan R. Sathiyadevi, 19, dari Banting, Selangor, pertama kali memilih berkelah di situ sebelum tiga anaknya itu lemas.

Seorang ahli keluarga terdekatnya, R. Thammamty, 30, berkata, dia tidak menyangka Anchalay bersama empat anaknya ke Port Dickson untuk berkelah kerana kebiasaannya mereka sekeluarga hanya ke Pantai Morib, Selangor untuk mandi-manda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya yang tinggal berdekatan dengan rumah keluarga terbabit , dia hanya mengetahui keluarga sepupunya itu ke Port Dickson selepas dihubungi Anchalay yang memaklumkan kejadian lemas tersebut.

“Adik sepupu lelaki saya, R. Veeran pada mulanya mengambil kereta yang diletakkan di hadapan rumah saya kira-kira pukul 2 petang. Saya fikir dia nak ke kedai namun apabila sudah lewat petang saya mula tertanya-tanya apabila lihat rumah mereka masih belum dinyalakan lampu dan mula tertanya-tanya.

“Tidak lama lepas tu saya dapat panggilan dari ibu saudara yang memaklumkan tiga adik sepupu saya meninggal dunia dan ada yang dibawa ke hospital.

“Saya sangkakan mereka terbabit dalam kemalangan namun apabila sampai ke hospital baru saya tahu mereka lemas dalam kejadian di Pantai Cahaya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Port Dickson, semalam.

Veeran dan tunang kepada Kalaivani iaitu J. Sathiswaran, 29, pula diselamatkan orang awam ketika kejadian kira-kira pukul 5 petang itu sedang dirawat di Hospital Port Dickson.

Thammamty dalam pada itu berkata, ibu saudaranya itu kini dalam keadaan sangat tidak stabil dan hanya menangis tidak henti selepas kehilangan tiga orang anak perempuannya dalam sekelip mata.

“Ketika saya menemui ibu saudara, dia memberitahu kejadian berlaku sangat pantas dan ketika itu dia sedang duduk di atas batu di tepi pantai tersebut. Dia memaklumkan terdengar jeritan orang awam yang meminta pertolongan dan terkejut selepas mengetahui anak-anaknya lemas.

“Sehingga kini ibu saudara masih menangis dan keadaannya tidak stabil, begitu juga dengan bapa saudara saya, S. Ravi, 48. Kebiasaannya kami akan ke Pantai Morib sahaja untuk bermandi-manda, ini kali pertama mereka pergi ke Port Dickson,” katanya lagi.

Tambahnya, lebih menyedihkan, Kalaivani dan Sathiswaran dijangka mendirikan rumah tangga pada bulan November depan selepas lapan tahun bertunang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pada pukul 6.20 petang, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima maklumat dari orang awam mengenai kejadian lemas yang berlaku di pantai yang terletak berhampiran Kompleks Pentadbiran Port Dickson di Batu , Jalan Pantai Port Dickson.

“Siasatan polis mendapati mangsa bersama ibu mereka dan seorang lagi rakan telah datang dari Banting, Selangor ke Port Dickson bertujuan untuk mandi-manda. Pada pukul 4.30 petang, mangsa seramai lima orang telah turun ke laut untuk mandi manakala ibu mereka berada darat.

“Selepas itu, ibu mangsa terdengar suara meminta pertolongan dan terlihat dua orang anaknya dan seorang rakan naik ke darat dalam keadaan cemas manakala dua lagi masih berada di laut. Ibu mangsa kemudian meminta pertolongan awam untuk menghubungi polis dan bomba bagi mendapatkan bantuan menyelamatkan dua orang lagi anaknya.

Operasi menyelamat dilakukan oleh pihak bomba dan berjaya menemukan dua orang lagi mangsa. Keseluruhannya tiga orang gagal diselamatkan dan meninggal dunia walaupun dengan usaha bantuan pernafasan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×