PETALING JAYA: Kerajaan dicadang menggubal Akta Pengisytiharan Aset bagi memastikan proses pengisytiharan harta dilakukan secara teratur termasuk mewajibkan semua wakil rakyat mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, menerusi satu undang-undang seperti Akta Pengisytiharan Aset dilihat membolehkan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mereka memegang jawatan untuk mengisytiharkan dan mengemas kini kekayaan mereka secara berkala.
“Sesetengah ahli politik ada mengatakan bahawa mereka enggan mengisytiharkan aset dan pendapatan atas alasan ianya sulit dan bimbang keselamatan diri.
“TI-M mengingatkan semua ahli politik bahawa mereka dipilih oleh rakyat, oleh itu mereka perlu ingat sebagai wakil rakyat mereka sewajarnya sentiasa telus dalam tindakan mereka dengan mengamalkan integriti pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedang berbincang dengan pelbagai agensi, termasuk SPRM bagi menetapkan parameter jelas berhubung aspek pengisytiharan harta supaya lebih telus.
Mohan menegaskan, Perdana Menteri perlu menjadikan undang-undang pengisytiharan aset itu sebagai sebahagian agenda reformasi kerajaan Perpaduan bagi memastikan pentadbiran mengamalkan pengurusan yang baik dan menghapuskan segala bentuk rasuah dalam kalangan wakil rakyat.
“Satu daripada amalan ini adalah dengan membuat pendedahan penuh dan benar mengenai aset serta pendapatan mereka apabila diperlukan.
“Kekayaan yang diperoleh daripada kehidupan yang jujur harus menjadi sumber kebanggaan, bukan kebimbangan,” katanya.
Jelasnya, mereka yang didapati aset meningkat secara signifikan dalam tempoh singkat mesti diwajibkan memberikan penjelasan dengan bukti dokumen sokongan yang diperlukan. – UTUSAN











