Ratusan syarikat AS minat labur di Malaysia - Utusan Malaysia

Ratusan syarikat AS minat labur di Malaysia

Duta AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratusan syarikat Amerika Syarikat (AS) termasuk 50 bertaraf multina­sional mengintai peluang pela­buran di negara ini selepas pembukaan sektor ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Ini berikutan daya tahan eko­nomi Malaysia yang dilihat terbaik selepas wabak berbanding negara-negara ASEAN lain.

Malah, Malaysia terbukti jauh terlindung daripada krisis tenaga paling teruk dan juga krisis makanan, jadi syarikat-syarikat AS berasa bertuah untuk mempunyai hubungan yang berterusan di sini.

Bercakap kepada Mingguan Ma­­laysia, Duta AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters berkata, kebanyakan syarikat berminat me­labur dalam perniagaan elektrik dan elektronik (E&E), digital, peralatan perubatan, penjagaan kesihatan dan perhotelan.

Malah, menurut beliau, sya­rikat-syarikat AS juga melihat keupayaan Malaysia dari sudut tenaga kerja mahir yang mencukupi termasuk jurutera selain kemahiran komunikasi berbahasa Inggeris antara yang terbaik dalam kalangan negara ASEAN.

BUAH SYARIKAT

Kata beliau, pada Mac lalu, sebanyak 50 buah syarikat AS tiba ke negara ini untuk mengintai peluang pelaburan.

“Mereka dikatakan bercakap mengenai peluang untuk perniagaan dalam pelbagai bidang terutamanya bidang digital, hospitaliti, peralatan perubatan, penjagaan kesihatan, industri perhotelan dan lain-lain lagi.

“Kami juga ada sejarah yang panjang dalam bidang E&E di sini yang kini mencecah 50 tahun,” kata beliau ketika ditemui di sini Rabu lalu.

McFeeters berkata, se­takat tahun lalu, pelaburan langsung asing (FDI) AS ke Malaysia lebih AS$6.6 bilion (RM29.051 bilion).

Katanya, jumlah itu secara tidak langsung menunjukkan hubungan magnitud yang cergas antara kedua-dua negara.

Mengenai syarikat AS yang berdaftar di negara ini, McFeeters berkata, diangarkan kira-kira 600 hingga 700 buah syarikat dan majoritinya dalam bidang E&E dengan tahun lepas, nilai dagangan keseluruhan AS dan Malaysia mencapai AS$73 bilion (RM321.325 bilion).

MENYUMBANG

Kata McFeeters, sektor E&E Malaysia menyumbang hampir 40 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan iaitu bersamaan AS$137 bilion (RM603.083 bilion) pada 2022.

Ditanya sama ada wujud syarikat AS yang akan menutup perniagaan di Malaysia, McFeeters berkata, ia terpulang kepada syarikat dan setakat ini, hal itu di luar pengetahuannya.
Malah, beliau mendapati ba­nyak syarikat AS berkembang dari tahun ke tahun.

“Saya suka bercakap tentang syarikat dari AS di sini kerana mereka membuat wang dan mendapat keuntungan,” kata beliau.

McFeeteers menyatakan bahawa beliau dan rakan sekerja kerap melawat syarikat-syarikat AS di sini dan hampir kesemua­nya bercerita mengenai kejayaan.

Mengenai kemelut industri perbankan di AS yang mungkin menjejaskan ekonomi Malaysia dan dunia, McFeeters berkata, keadaan ekonomi di negaranya kini dalam mod pemulihan.
Katanya, ramai yang bimbang pada waktu krisis Covid-19 berbanding sekarang.

“Kami kini berasa seperti dalam mod pemulihan, lebih baik daripada waktu krisis Co­vid-19. Inflasi dan keterjaminan makanan masih lagi menjadi masalah di AS, namun, tidak seteruk pada enam bulan lalu. Kami kini berasa sedikit stabil,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×