SEHINGGA ke saat ini, tidak pernah walau sekali dia membuka mulut bercerita perkara sebenar yang berlaku. Tidak pernah dia cuba memburukkan sesiapa. Dia kekal tenang. Malah sebelum saya sempat melontarkan soalan pertama, pintanya cuma satu, tiada lagi soalan berkait rapat dengan kontroversi antara dia, Bella Astillah dan Alif Aziz.
Bagi pelakon, Sophia Albarakbah, dia hanya mahu meneruskan hidup, berbekalkan semangat untuk tidak lagi menoleh ke belakang. Episod hitam yang berlaku adalah satu tamparan realiti yang menjadi guru mematangkan dirinya.
“Banyak cerita tidak benar tersebar. Tetapi diam adalah langkah terbaik. Tidak perlu saya menambah kebencian dengan menegakkan kebenaran. Apa yang berlaku, sudah berlalu.
“Itu adalah fasa terburuk dalam hidup saya. Tak pernah saya melalui episod sukar dan menyakitkan seperti itu. Bila baca hinaan dan makian, saya tertanya-tanya, apa salah saya pada mereka?
“Tetapi semua itu saya bukukan jadi sejarah supaya di masa akan datang, setiap yang pahit itu akan menjadi pedoman,” ujarnya.
Lantas bagaimana dia membulatkan semangat untuk berhadapan dengan masyarakat? Selepas pelbagai kata hinaan dilemparkan, dilontarkan. Bagaimana dia boleh setenang air mengalir?
“Saya rasa kalau saya terus bersuara, memberi kenyataan di sana sini, mungkin sampai sekarang kontroversi itu tidak akan berakhir. Saya perlu berhati besar. Diam bukan tanda mengalah.
“Tetapi diam saya untuk tidak menambah bara. Di sebalik senyuman, hari-hari saya menangis. Saya tak tengok media sosial, selalu bercakap dengan diri sendiri, apa dosa saya pada yang menghina?” kata pelakon berusia 29 tahun itu. Diajukan soalan, adakah dia pernah terfikir untuk berhenti sahaja dari dunia seni, Sophia angguk setuju.
“Ketika itu, saya fikir dunia seni bukan untuk saya. Saya tertekan dan kemurungan. Dalam otak, cuma fikir berhenti dan berhenti sahajalah.
“Tetapi syukur, saya ada insan-insan yang tetap bersama walau ombak memukul pantai itu cukup besar. Keluarga, teman lelaki dan rakan rapat tidak pernah lelah beri kata semangat.
“Malah ramai juga rakan industri beri semangat untuk saya tidak melatah menghadapi kemelut itu. Di situ, saya lihat ramai sebenarnya yang ambil berat,” kongsinya.
Rezeki itu ada

Hakikatnya, kontroversi yang melanda pasti memberi impak dan persepsi negatif peminat serta penggiat industri terhadap pelakon Ku Akad Kau Dengan Bismillah ini.
Pasti juga ada kerisauan dalam hatinya bila bercakap soal rezeki. Apatah lagi, baru empat tahun bertapak dia sudah terpalit dengan kontroversi yang menggegarkan dunia hiburan tanah air.
“Jujur, satu ketika saya sangat risau soal rezeki. Dunia seni adalah periuk nasi saya. Bila sudah ada menabur pasir, sudah tentu saya risau dengan persepsi masyarakat. Apa yang mereka fikir.
“Dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan, sedikit sebanyak itu memburukkan nama saya dalam industri. Tetapi saya akhirnya berbalik kepada kepercayaan, rezeki itu ditentukanTuhan.
“Siapa saya untuk mempersoalkannya. Datanglah ribut taufan sekali pun, jika Tuhan mengkehendaki sesuatu maka itu akan terjadi dengan sendirinya, Saya yakin, Tuhan itu maha adil,” ujarnya.
Namun dia sendiri tidak menyangka, drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah menjadi titik tolak rasa benci jadi suka. Ramai yang memuji keserasian dia dan Aliff, malah ada juga yang meminta agar diteruskan untuk siri kedua.
“Memang terkejut. Ledakan kebencian itu sangat dahsyat namun apabila drama itu mula ditayangkan, sedikit demi sedikit bertukar menjadi suka. Komen-komen menghina juga semakin berkurang.
“Banyak respons saya terima cuma berkisar tentang lakonan dan watak saya. Itu sangat menggembirakan sebab saya memang tidak suka bercakap soal peribadi. Fokus saya adalah kerjaya.
“Saya juga bukan jenis yang suka raih publisiti murahan. Maaf, saya percaya kepada bakat dan kemampuan sendiri. Mungkin tidak sehebat mana lagi, tetapi inilah masa untuk saya terus belajar,” terangnya.
Kahwin? Sabar dulu

Tidak merahsiakan hubungan cintanya dengan seorang doktor, pelakon Suamiku Lelaki Pendosa ini tidak pernah meletakkan sebarang had umur untuk dia menamatkan zaman bujangnya.
Baginya, hasrat untuk diijab kabul itu akan tiba tepat pada waktunya selari dengan perancangan Tuhan. Sama ada awal atau lambat, dia tetap akan bersungguh-sungguh memberi fokus kepada kerjaya seninya.
“Saya baru empat tahun dalam industri. Jauh lagi perjalanan itu. Soal perkahwinan, kami hanya boleh merancang. Teman lelaki saya sudah bersedia, cuma mungkin saya cakap nanti dululah. Beri saya masa.
“Masa untuk kukuhkan kerjaya terlebih dahulu. Bina nama tanpa dibayangi kontroversi. Saya mahu buktikan yang bakat mendahului segalanya. Rupa paras hanyalah satu kelebihan tetapi itu tidak akan bertahan lama,” katanya.
Melontarkan soalan bagaimana reaksi teman lelakinya selepas kontroversi itu mula hangat diperkatakan, Sophia bersyukur kerana dihadirkan dengan lelaki yang cukup memahami dan tidak cepat menghukum.
“Dia adalah tulang belakang dan sistem sokongan saya yang paling utama selain keluarga. Sehingga sekarang, dia tidak pernah berhenti memberi kata-kata semangat untuk saya terus berkarya.
“Kalau dikecam, dia dan ahli keluarga akan cepat memujuk hati saya. Mereka sangat memahami. Tidak pernah ada persepsi buruk. Mereka tahu, inilah permainan dunia seni,” luahnya.










